GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Guna kreativiti dalam aktiviti kecergasan dan sukan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu saranan pakar kepada orang ramai khususnya mahasiswa supaya tidak buntu menjalankan aktiviti kecergasan bagi memastikan badan kekal sihat dan bertenaga.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, walaupun dalam keadaan pergerakan terkawal, orang ramai masih perlu memastikan aktiviti fizikal diteruskan dengan kreativiti baharu.

Katanya, masih ramai menjadikan kekangan PKP sebagai alasan untuk bersukan dan tanpa disedari, mereka tidak mengamalkan senaman untuk tempoh masa yang lama.

"Sejak PKP pertama lagi, kita tidak dapat melakukan banyak perkara kerana kekangan prosedur operasi standard.

"Namun apabila diberi kelonggaran, kita perlu menggunakan peluang itu untuk kembali aktif dan cergas dengan kreativiti sendiri.

"Mahasiswa terutamanya perlu berfikir bagaimana mereka boleh menggunakan ruang yang ada untuk bersenam dan melakukan rutin kecergasan, bukan hanya duduk di rumah kerana ia boleh mengundang masalah kesihatan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kreativiti yang dimaksudkan ialah menggunakan teknik senaman secara mudah, umpamanya mengangkat tong berisi air bagi menggantikan aktiviti di gimnasium.

Selain itu, katanya, bagi mengurangkan aktiviti luar, mahasiswa juga boleh menaiki anak tangga di kampus atau di rumah sebagai bentuk senaman bagi menggantikan joging.

"Saya ingin tegaskan yang penting ialah kita bersenam merana badan perlu sentiasa cetgas dan sihat. Jangan hanya tunggu kebenaran dari kerajaan untuk bersukan, sebaliknya ubah suai dengan persekitaran kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 5:09 PM