Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz Ghazi
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Umno Johor hanya menyampaikan hasrat akar umbi Bahagian Sri Gading yang mahu kerusi Parlimen itu kembali ke pangkuan parti.

Setiausaha Umno Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kenyataan bidasan yang dikeluarkan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad terhadap Onn Hafiz adalah berlebihan.

Beliau menasihatkan Faezuddin supaya tidak mengikut emosi orang muda dengan 'terover' melatah dalam isu kerusi Parlimen Sri Gading.

"Sebagai pemimpin yang terkenal dengan sikap prihatin kepada denyut nadi rakyat dalam urusan pentadbiran negeri dan peka dengan suara akar umbi, beliau (Onn Hafiz) memahami kehendak kepimpinan dan ahli Umno di Bahagian Sri Gading.

"Oleh itu beliau melontarkan saranan supaya keseluruhan kepimpinan dan jentera Umno di bahagian itu bersedia dari awal untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

"Tidak timbul persoalan isu tidak cermat bercakap atau bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan kerana beliau bersuara atas kapasiti sebagai Pengerusi Umno negeri.

"Orang parti lain yang sepatutnya tidak mencampuri urusan dalaman Umno kerana beliau bercakap atas pentas Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Halim berkata, apa jua keputusan membabitkan pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan akan dibincangkan di peringkat Majlis Pimpinan Presiden Kerajaan Perpaduan.

Malah katanya, tempoh ke arah PRU-16 masih jauh.

"Apatah lagi, persoalan mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk PRU-16 pun belum diputuskan secara rasmi dan bertulis antara kedua-dua pihak. Kalau betul ada kerjasama, maka kita berbincanglah, kalau masing-masing bawa haluan sendiri maknanya kita bertempurlah secara politik matang di medan pilihan raya nanti.

"Jadi sekali lagi saya nasihatkan kepada AMK Johor, tak perlulah nak berlebih-lebihan dalam perkara yang belum muktamad lagi," katanya.

Faezuddin sebelum menyatakan kenyataan Onn Hafiz kurang cermat sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading yang dilihat seolah-olah punyai agenda yang boleh menjejaskan keharmonian Kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 1:16 PM