GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


IBU bapa disaran sentiasa memantau penggunaan gajet ataupun komputer riba anak mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, ini kerana terdapat segelintir golongan muda yang mula bermain judi dalam talian bagi menghilangkan bosan sepanjang tempoh ini.

Katanya, judi sama ada dalam talian ataupun tidak adalah perkara yang membimbangkan kerana bermula dari itu mereka mula meminjam along.

“Judi dalam talian semakin banyak, jadi ibu bapa mesti pantau anak mereka supaya tidak terbabit dalam aktiviti itu dan meminjam daripada cuti haram yang akhirnya akan menyusahkan seluruh keluarga.

“Ini kerana sepanjang tempoh PKP, saya ada terima lima aduan berkaitan anak terbabit dengan judi dalam talian.

“Ada satu kes itu, anaknya berusia 26 tahun berhutang RM8,000 akibat judi dalam talian dengan alasan bosan duduk di rumah. Alasan ini tidak boleh diterima,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Michael Tay turut menyarankan agar perkhidmatan dijalankan secara atas talian bagi sektor makanan dan pakaian.

Katanya, peniaga boleh menukar cara itu dalam tempoh PKP sehingga Covid-19 hilang sepenuhnya.

“Jika peniaga makanan hendak berniaga pastikan guna kaedah dalam talian dan penghantaran ke rumah. Kaedah ini lebih selamat dengan penjarakan sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 7:31 PM