Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri Melaka didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan menggunakan jawatan untuk membayar gaji lebih RM13,000 kepada anak perempuannya, tiga tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap, Amir Ali, 57, yang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dikemukakan pendakwaan hari ini.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didapati membuat urusan bayaran gaji RM13,750 yang diterima anaknya, Nur Hafizah yang dilantik olehnya sebagai Pegawai Kewangan W41 di Syarikat Halal Hub Sdn Bhd.

Kesalahan itu dilakukan di Melaka Halal Hub Sdn Bhd, Lot 125, Bangunan Anchor Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam, Jasin pada 1 April 2021.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai pegawai kanan kebudayaan di sebuah universiti tempatan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali sementara tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Selepas menimbangkan hujah kedua-dua pihak, mahkamah mengenakan hukuman denda RM15,000 atau penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:37 PM