TERTUDUH (kiri) didenda RM200 selepas mengaku bersalah mencuri tiga biji durian ketika dihadapkan ke Mahkamah Masjistret. FOTO Aminah Yusof
TERTUDUH (kiri) didenda RM200 selepas mengaku bersalah mencuri tiga biji durian ketika dihadapkan ke Mahkamah Masjistret. FOTO Aminah Yusof
Siti Aminah Mohd Yusof


Balik Pulau: Nelayan didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri tiga biji durian di kebun di Jalan Teluk Bahang di sini, Selasa lalu.

Ringkasan Berita
  • Nelayan didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau kerana mencuri tiga biji durian di Jalan Teluk Bahang.
  • Tertuduh, Roskhaizan Romli, mengaku bersalah dan mengatakan melakukan perbuatan itu kerana teringin makan durian.
  • Roskhaizan dikenakan denda atau penjara tujuh hari jika gagal melunaskan denda.
  • Majistret Chia Huey Ting mengenakan denda itu terhadap tertuduh, Roskhaizan Romli, 46, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

    Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari jika gagal melunaskan denda.

    Tertuduh membayar denda itu.

    Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu mencuri tiga biji durian dianggar bernilai RM200 milik Neoh Aik Eng, 40, di lot 295 Jalan Teluk Bahang pada jam 12.15 tengah hari, 9 Julai lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, ketika disoal Huey Ting mengapa dia melakukan perbuatan itu, tertuduh menjawab dia ingin makan durian itu.

    "Saya curi durian sebab nak makan, minta hukuman paling ringan puan," katanya yang berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

    Sementara itu, di mahkamah sama, seorang jurutera didenda RM50 selepas mengaku bersalah menunjukkan kemaluannya di hadapan seorang kanak-kanak lelaki dalam lif sebuah kondominium, 23 April lalu.

    Tertuduh, M Ramesh, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Huey Ting.

    Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu melakukan perbuatan tidak sopan dengan cara mengeluarkan kemaluan daripada seluar dipakai di hadapan kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam lif Orchard Ville, Lengok Kelicap Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini, pada jam 7.25 malam, 23 April lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 1:32 PM