Foto hiasan
Foto hiasan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sentiasa mengingatkan diri bahawa terdapat fasa baharu dalam kehidupan di dunia adalah antara kaedah disyorkan pakar bagi mengatasi masalah kelesuan pandemik.

Ia termasuk menerima dengan hati terbuka bahawa semua orang hidup bersama pandemik ini dan perlu kawalan kesihatan untuk tempoh masa yang panjang.

Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi Dr Azuraida Shahadan berkata, latihan untuk mengawal emosi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah perlu bagi memastikan kita tidak hidup di dalam tekanan.

"Ada banyak cara untuk kita kawal emosi antaranya meluahkan kesedihan termasuk dengan cara menangis.

"Antara fungsi air mata ialah mampu menghilangkan stress. Daripada kita pendamkan, lebih baik kita keluarkan walaupun dalam bentuk tangisan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, keduanya adalah perlu belai diri kerana antara elemen yang boleh mendatangkan ketenangan ialah dengan urutan.

Katanya, apabila kesedihan berkurang, emosi akan kembali stabil dan itu akan membantu meredakan tekanan.

"Kita amalkan 3S (sosial, spiritual dan senaman). Kita perlu bersosial, bergembira, lakukan amalan spiritual seperti solat dan zikir serta senaman ringan yang akan merembeskan hormon endorfin.

"Selain itu boleh amalkan 3M juga iaitu membaca, menulis dan menangis. Kita akan mampu menangani tekanan akibat PKP," katanya.

Beliau berkata, semua orang perlu membiasakan diri dengan konsep bersyukur dengan apa yang ada serta lebih memberi daripada menerima, konsep yang akan mendorong kita untuk reda dengan keadaan.

"Teori yang mudah ialah, gembirakan orang dan kita akan gembira, Insya-Allah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 5:17 PM