SEBAHAGIAN pekerja perkhidmatan kebersihan di empat sekolah rendah di Kota Bharu. FOTO Siti Rohana Idris
SEBAHAGIAN pekerja perkhidmatan kebersihan di empat sekolah rendah di Kota Bharu. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seramai 20 pekerja perkhidmatan kebersihan di tiga sekolah rendah di Kota Bharu dan satu di Bachok, menuntut bayaran gaji mereka yang tertunggak sejak empat bulan lalu.

Tunggakan gaji sejak Mac hingga Jun lalu itu mencecah RM120,000.

Menurut Nani Abdul Rahman, 53, sepanjang berada di bawah pengurusan syarikat berkenaan sejak Disember lalu, hanya dua bulan pertama sahaja pembayaran gaji iaitu RM1,500 sebulan berjalan lancar.

Selepas itu, gaji gagal dibayar, katanya.

"Kami ada bertanyakan wakil syarikat setiap kali dia datang ke sekolah membawa bekalan alat pencuci dan jawapannya, ia disebabkan bayaran tuntutan belum dapat selain memberi alasan ada kesilapan dalam invois.

"Memasuki bulan ketiga dan keempat, gaji kami tetap gagal dibayar malah kami dimarahi serta diugut untuk digantikan pekerja lain jika masih lagi bertanyakan hal itu. Keadaan bertambah sukar apabila syarikat terbabit gagal dihubungi," katanya ditemui, hari ini.

"Kami sudah membuat dua laporan polis selain empat laporan di pejabat buruh namun tiada maklum balas.

"Kini, kami hidup dalam keadaan berhutang," katanya lagi.

Nani berkata, majoriti pekerja mempunyai komitmen yang besar malah dia sendiri perlu membiayai seorang anak yang menderita masalah buah pinggang tahap akhir dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Ada juga pekerja yang terpaksa menggadai barang kemas serta menebalkan muka berhutang dengan saudara mara untuk kelangsungan hidup kerana jika ingin berhenti, mereka mendakwa diugut tidak akan menerima tunggakan gaji.

Kesulitan sama dialami Asrul Dailamie Awang, 38, yang terpaksa mencatu segala perbelanjaan kerana perlu memperuntukkan kos untuk keperluan ibunya yang menghidap angin ahmar.

Katanya, wang simpanannya semakin menyusut malah untuk makan minum seharian di tempat kerja juga banyak dibantu guru yang simpati dengan nasibnya serta rakan lain.

"Saya perlu berjimat kerana ibu memerlukan perbelanjaan membeli lampin pakai buang serta susu khas," katanya.

Difahamkan, sebaik syarikat pembersihan itu menghilangkan diri, ada syarikat lain yang mengambil alih secara sementara untuk tempoh dua bulan sehingga Ogos.

Bagi bulan ini, semua pekerja sudah menerima sebahagian gaji berjumlah RM700.

Seorang lagi mangsa, Muhamad Hanif Ridzuan, 29, buntu mencari wang untuk persediaan perkahwinannya pada September ini.

Katanya, jika tunggakan gaji itu dilunaskan, bebannya pasti berkurangan kerana dia banyak berhutang dengan keluarga untuk persediaan perkahwinan.

"Jika dilunaskan, saya akan jadikan wang berkenaan sebagai hantaran. Jika sebaliknya, mungkin majlis perkahwinan dibuat secara ringkas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:41 PM