GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Ketika jalan raya kembali sesak dengan kenderaan selepas cuti raya Aidilfitri, orang ramai disaran mengikut jadual perjalanan yang dicadangkan pihak berkuasa.

Itu tips terbaik untuk mengelakkan daripada stress 'tersangkut' akibat kesesakan lalu lintas sehingga mungkin membahayakan nyawa individu lain.

Aktivis Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Datuk Mohammad Hisham Shafie berkata, stress ketika memandu berpunca daripada beberapa faktor dan paling utama adalah kerana kesesakan lalu lintas yang melampau.

"Kita tahu pada musim perayaan khususnya membabitkan perjalanan jauh atau pantai timur akan mengambil masa sekitar 10 hingga 12 jam, kita akan jadi stress akibat kekurangan rehat dan gangguan waktu tidur.

"Orang ramai khususnya pemandu kenderaan boleh mengurangkan ketegangan akibat kesesakan jalan raya menerusi merancang perjalanan dan memulakan pergerakan di awal pagi ketika badan masih segar serta cuaca yang redup, tidak terlalu panas.

"Pada masa sama, kita juga perlu cakna dengan cadangan jadual perjalanan supaya mengurangkan masa kita di dalam kenderaan," katanya.

Mohammad Hisham berkata, bagi pemandu yang sudah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, kaedah yang boleh digunakan untuk mengurangkan stress ini adalah berehat sekejap di kawasan yang sepatutnya.

Menurutnya, rehat antara lima hingga 15 minit mampu untuk mengurangkan stress dan cuba melakukan regangan badan.

"Kita jadi stress akibat kepenatan atau mengantuk, jadi perlu untuk kita lakukan regangan badan, cuci muka dan tidak makan terlalu kenyang.

"Apabila kita stress, pertimbangan kita ketika memandu akan terganggu dan ini mungkin membahayakan nyawa orang lain.

"Saya sangat berharap pemandu dapat mengambil langkah yang wajar serta sentiasa rasional dalam pemanduan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 11:02 AM