Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Satu lagi kes kehilangan wang daripada akaun bank membabitkan kerugian melebihi RM2 juta dikesan polis berlaku di bank di Kuala Kangsar, Perak.

Kehilangan wang yang didalangi kakitangan bank itu sendiri terbongkar selepas satu laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 9 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan berkenaan memaklumkan terdapat pindahan wang dari akaun simpanan tetap milik pelanggan ke akaun pihak ketiga oleh kakitangan bank tersebut.

Menurutnya, kegiatan kakitangan itu hanya terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan tetap terbabit hadir ke bank untuk membuat pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap pada 27 Jun lalu.

"Selepas semakan dibuat, didapati sebahagian daripada sijil akaun simpanan tetap milik mereka sudah ditutup.

"Pelanggan-pelanggan berkenaan menafikan pernah membuat penutupan atau mengeluarkan wang dari akaun simpanan tetap milik mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ramli berkata, berdasarkan siasatan pihak bank, seorang kakitangan mereka disyaki membuat pengeluaran wang berkenaan.

Katanya, wang berkenaan kemudian didepositkan ke beberapa akaun yang berbeza.

"Bagaimanapun, kakitangan berkenaan yang juga suspek utama kes ini sudah meninggal dunia pada 5 Julai lalu kerana membunuh diri.

"Walaupun suspek utama meninggal dunia, siasatan kes ini tetap diteruskan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, institusi perbankan perlu melaksanakan siasatan terperinci terhadap transaksi perbankan yang tidak dibenarkan seperti saranan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Kata beliau, pihak bank tidak seharusnya menyalahkan pelanggan atas kerugian yang dialami daripada penipuan perbankan dalam talian melainkan terdapat bukti jelas pelanggan gagal melindungi butiran keselamatan peribadinya.

"Terdapat pendedahan di akhbar tempatan melaporkan seorang mangsa keldai akaun bahawa dia dibawa oleh sindiket ke beberapa bank untuk membuka akaun tanpa banyak persoalan oleh pegawai bank bertugas.

"Ringkasnya, terdapat pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket untuk memudahkan pembukaan akaun oleh individu yang kononnya pemilik syarikat keldai bagi membolehkan wang penipuan disalurkan ke akaun syarikat tersebut," katanya.

Justeru itu, beliau berkata, satu peruntukan baharu yang bakal dikuatkuasakan bagi JSJK menyiasat dan mendakwa pegawai bank yang terlibat dengan aktiviti sindiket penipuan.

"Sebagai langkah tambahan, PDRM menyarankan agar pihak bank memperkemaskan sistem mereka demi memastikan kepentingan pelanggan sentiasa terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 1:19 PM