Sammy (tiga dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas termasuk senjata api buatan sendiri susulan tangkapan suspek utama ke samun di Penampang. FOTO Juwan Riduan
Sammy (tiga dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas termasuk senjata api buatan sendiri susulan tangkapan suspek utama ke samun di Penampang. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Penampang: Dalang kumpulan jenayah yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam di daerah ini, Kota Kinabalu serta Keningau akhirnya ditahan polis pada serbuan di sebuah rumah di Papar, 9 Julai lalu.

Kini, polis memburu rakan jenayahnya dikenali sebagai 'Samsul' yang berketinggian kira-kira 180 sentimeter bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan samun berkumpulan dengan bersenjatakan parang di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Penampang, 16 Jun lalu.

"Dua suspek masuk ke premis dengan memakai topi keledar berpelitup muka sebelum seorang daripadanya mengeluarkan parang dan meminta kakitangan premis itu menyerahkan wang.

"Suspek bukan saja melarikan RM1,081.50 yang disimpan dalam peti wang malah menyamun telefon bimbit mangsa yang dianggarkan bernilai RM2,000.

"Kedua-duanya beredar dengan menunggang motosikal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Sammy berkata, dalang utama berjaya ditahan hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Jabatan Siasatan Jenayah D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Suspek yang juga warga tempatan berusia 47 tahun itu adalah penganggur. Dia mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan gaduh gempar.

"Penahan suspek membawa kepada rampasan 22 barangan. Ia termasuk dua laras senapang buatan sendiri, kelongsong peluru, kotak berisi peluru timah untuk senapang angin dan tiga bilah parang," katanya.

Menurutnya, hasil soal-siasat, suspek turut terbabit melakukan samun di tiga lagi kedai serbaneka di Tanjung Aru, Luyang dan Keningau.

"Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Samsul. Maklumat berkaitannya boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Norisyam Syed Putra Arsad di talian 018-9618072 atau balai polis berhampiran," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api dan anak peluru tanpa lesen atau permit yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:22 PM