MARYAM yang pernah tular meninggal dunia akibat barah limfoma.
MARYAM yang pernah tular meninggal dunia akibat barah limfoma.
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Ibu dua anak, Maryam Mansur yang pernah tular kerana mempunyai suara dan tingkah laku seperti keanak-anakan meninggal dunia akibat barah limfoma jam 11 pagi tadi.

Maryam, 42, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini dan khabar duka itu dikongsikan dikongsikan rakan, Ahmat Saridan Suhairi@Kassim, 52, yang juga pengasas Akademi Permata Impian (APIM) iaitu pusat latihan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Ahmat Saridan, jenazah Maryam akan diuruskan di PPUM sebelum dibawa ke Masjid Bandar Rinching, Semenyih untuk disembahyangkan.

"Dukacita dimaklumkan Maryam Mansor atau dikenali mekap chef mai kembali ke rahmatullah jam 11 pagi tadi.

"Moga Allah SWT ampunkan dosa arwah dan tempatkan rohnya dalam kalangan hambaNya yang solehah.

"Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pelangi Semenyih 2 selepas solat Asar," katanya dalam kiriman WhatsApp kepada Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Maryam yang pernah tiga kali ditidurkan akibat dijangkiti Covid-19 tahap lima, tiga tahun lalu dan hampir meragut nyawanya.

Ditakdirkan, Maryam diberi peluang kedua untuk terus bernafas cuma tidak normal apabila disahkan sebagai OKU kategori mental akibat gangguan neurokognitif kesan Covid-19 hingga suara serta tingkah lakunya yang menjadi seperti keanak-anakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 1:05 PM