MOHAMAD Lazim menunjukan barang rampasan berkaitan kes tipu pelaburan tidak wujud. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
MOHAMAD Lazim menunjukan barang rampasan berkaitan kes tipu pelaburan tidak wujud. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Terima upah sekitar RM3,000 sebulan untuk menjawat jawatan sebagai 'scammer' sepenuh masa.

Itu antara kerjaya haram dipilih 18 individu berusia lingkungan 20-an yang dikesan berkhidmat untuk sindiket penipuan sejak tiga bulan lalu.

Kesemua suspek membabitkan 16 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing, semua berusia lingkungan 22 hingga 27 tahun, ditahan dalam serbuan berasingan di dua pusat panggilan terletak di kondominium mewah di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, sindiket disyaki terbabit dengan penipuan pelaburan tukaran mata wang asing (forex) dengan menyasarkan mangsa di Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

"Ahli sindiket akan mengajak mangsa melabur melalui platform Poly X dan dijanjikan pulangan keuntungan 1.5 peratus setiap minggu bagi setiap pelaburan.

"Bagaimanapun selepas seminggu melabur mangsa tidak boleh mengeluarkan wang pelaburan mereka dari platform pelaburan itu.

"Setakat ini jumlah kerugian masih belum dikenal pasti berikutan semua mangsa berada di luar negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, tadi.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki pemilik premis itu dan pada masa sama mengenalpasti dalang di sebalik sindiket berkenaan.

Katanya, kesemua suspek direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pasukan serbuan merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah antaranya beberapa set komputer, telefon bimbit, dan perkakas internet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 1:09 PM