KEBAKARAN hutan di tanah gambut di Kampung Raja, Besut. FOTO ihsan Razali Idris
KEBAKARAN hutan di tanah gambut di Kampung Raja, Besut. FOTO ihsan Razali Idris
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Dua kejadian kebakaran punca berlakunya kemerosotan kualiti udara di daerah Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati berlaku pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah di Kampung Paya Rawa dan kebakaran hutan serta belukar di kawasan tanah gambut di Kampung Raja, Besut.

"Majlis Daerah Besut (MDB) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Besut sertaJabatan Kerja Raya (JKR) sedang melakukan kerja pemadaman termasuk melakukan timbunan tanah di Tapak Pelupusan Sampah (TPS), yang terbakar sejak awal Jun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal berkata demikian ketika mengulas aduan orang ramai mengenai udara di daerah Besut berjerebu.

Mengulas mengenai kebakaran hutan dan belukar di kawasan tanah gambut di Kampung Raja, Razali berkata, kebakaran dikesan berlaku sejak awal bulan ini membabitkan keluasan seluas kira-kira 30 hektar.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dan daerah dengan bantuan penduduk kampung sedang berusaha untuk melakukan pemadaman.

"Tanah gambut yang tinggi dengan bahan organik di lapisan bawah tanah menyebabkan berlakunya asap tebal menyelebungi beberapa kawasan di daerah Besut.

"JAS menempatkan Alat Pemantauan Kualiti Udara (GRIMM) di Kolej Vokasional Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud Dua untuk mengukur tahap kualiti udara.

"JAS juga dalam usaha untuk menempatkan Stesen Pemantauan Kualiti Udara Bergerak di Kampung Raja bertujuanmemberikan maklumat kualiti udara kepada orang awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:27 PM