KAVEINTHRAN menyentuh keputusan STPM dalam tulisan Braille sambil diperhatikan ibu, Thanamala Muniandy, 50, dan bapanya  Pulanthran Muniandy, 56,  di Selayang, semalam.
KAVEINTHRAN menyentuh keputusan STPM dalam tulisan Braille sambil diperhatikan ibu, Thanamala Muniandy, 50, dan bapanya Pulanthran Muniandy, 56, di Selayang, semalam.

Kuala Lumpur: “Jangan terlalu stress, belajar terima hakikat dan dalam masa sama buktikan yang kita juga boleh berjaya,” kata Kaveinthran Pulanthran, 20, Calon Terbaik Kategori Istimewa Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang diumumkan semalam.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John Kuala Lumpur itu yang cacat penglihatan berjaya meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 dengan tiga mata pelajaran mendapat A, manakala hanya satu saja mendapat A-.

Katanya, berbekalkan semangat cekal serta dorongan ibu bapa membuatkan dirinya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

“Kakitangan sekolah, guru-guru serta semua rakan-rakan terlalu baik untuk saya. Mereka adalah insan yang banyak membantu saya selama beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jangan ada perasaan rendah diri, sebaliknya banyakkan berkawan dengan kawan yang normal dan buat ‘brainstorming’ bersama mereka,” katanya.

Kaveinthran berkata, beliau ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Psikologi di peringkat Ijazah dan berhasrat memohon sumbangan tajaan bagi membiayai pengajiannya.

“Jika diberikan peluang, saya ingin menyambung pengajian di luar negara kerana difahamkan universiti di dalam negara ini tidak menyediakan tajaan untuk golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:01 AM