Wira (kanan) bersama anaknya (atas kerusi roda khas) dan peserta OKU yang menyertai Larian Selangor Corporate Colour 2019 di Stadium Shah Alam hari ini. Foto Roslin Mat Tahir
Wira (kanan) bersama anaknya (atas kerusi roda khas) dan peserta OKU yang menyertai Larian Selangor Corporate Colour 2019 di Stadium Shah Alam hari ini. Foto Roslin Mat Tahir
Norzamira Che Noh


WALAUPUN anaknya mengidap palsi serebrum (CP), ia tidak menghalang Wira Sudepja Rabu, 44, untuk membawa insan istimewanya itu menyertai Larian Selangor Corporate Colour 2019 di Shah Alam pagi tadi.

Nur Wadihan, 11, mengalami CP Quadriplegia (kedua tangan dan kedua kaki) kerana komplikasi ketika dilahirkan.

“Dihan (Nur Wadihan) sudah terlantar sejak lahir dan pada tiga tahun pertama saya memang tidak membawanya keluar kerana dia mudah sakit jika terdedah dengan orang

ramai.

“Bagaimanapun, pada usianya lima tahun, saya ingin membawanya keluar dan mendapatkan nasihat doktor mengenai perkara itu termasuk mencari makanan tambahan yang boleh menguatkan imunisasi Dihan.

“Alhamdulillah, kini setiap bulan kami akan menyertai program rekreasi seperti larian dan kayuhan, malah Dihan juga gembira apabila dapat keluar serta berjumpa orang,” katanya.

Wira berkata demikian ketika ditemui pada Larian Selangor Corporate Colour 2019 di Stadium Shah Alam, hari ini, yang membawa anaknya itu menggunakan kerusi roda khas

Wira yang juga Pengerusi Bikeisable turut menggalakkan keluarga yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) membawanya keluar serta bergaul dengan masyarakat.

Menurutnya, komuniti yang berdaftar dengan Malaysian Advocate for Cerebral Palsy (MyCP) yang ditubuhkan pada 2015 bermula dengan tujuh keluarga dan kini sudah disertai 50 keluarga.

“Saya memang galakkan ibu bapa bawa anak mereka keluar, raikan kehidupan mereka.

“Selain dapat merapatkan hubungan antara ahli keluarga, ibu bapa juga dapat bertukar pandangan mengenai anak dengan ahli komuniti yang lain,” katanya.

Wira berkata, sebanyak 20 keluarga dari komuniti Bikeisable turut menyertai larian berkenaan dengan membawa anak istimewa masing-masing.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hadir melepaskan peserta larian berkenaan.

Amirudin berkata, program berkenaan adalah kali ketiga dianjurkan tetapi kali pertama diadakan berbanding kayuhan sebelum ini yang terbahagi kepada dua kategori iaitu tiga dan lima kilometer (km).

“Sebanyak 2,100 penyertaan diterima pada acara kali ini yang terdiri daripada warga korporat komuniti perindustrian dan masyarakat,” katanya.

Program anjuran Invest Selangor itu turut menjadi platform untuk agensi kerajaan serta pemain industri berkomunikasi antara satu sama lain secara tidak formal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 4:27 PM