NUR Wadihan gembira menyertai half marathon bersama bapanya, Wira Sudepja baru-baru ini.
NUR Wadihan gembira menyertai half marathon bersama bapanya, Wira Sudepja baru-baru ini.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Selagi ada kudrat, selagi anak syurga saya bernyawa, saya mahu terus mencipta momen bahagia dengannya. Saya mahu dia sentiasa tersenyum."

Tekad itu dizahir Wira Sudepja Rabu, 48, dalam membahagiakan anaknya, Nur Wadihan, 15, yang menghidap Cerebral Palsy sejak lahir.

Disebabkan keazaman itu juga dia membawa anak istimewa terbabit menyertai Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM), baru-baru ini.

Wira Sudepja meraih perhatian ramai selepas berlari sejauh 21 kilometer (km) sambil menolak stroller anaknya hingga ke garisan penamat.

Menurutnya, aktiviti itu adalah bersempena ulang tahun kelahiran Nur Wadihan yang ke-15 pada 18 September lalu.

"Pada 2020 saya bawa dia mengayuh basikal ke Bukit Fraser, Pahang. Tahun lepas saya berbasikal ke Gunung Jerai, Kedah dan Wang Kelian, Perlis.

"Tahun ini sepatutnya buat sambutan berkembar iaitu pertama, kayuhan berbukit di Sumpitan Lenggong, tapi tergendala sebab dia sakit dan masuk wad. Alhamdulillah dapat juga bawa dia bersama dalam 'half marathon'.

"Saya memang nak cipta momen luar biasa dengan dia. Dia memang tak tahu apa-apa, tapi dapat tengok keseronokan pada wajahnya. Melihat dia ketawa, bagi saya itu cukup mahal," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kegembiraan Nur Wadihan adalah punca kekuatan dan semangatnya, malah dia amat menghargai masa bersama anak bongsu daripada dua beradik itu.

"Bukan apa, anak seperti dia membesar dengan sakit. Bila mampu buat dia ketawa, ia sangat berharga. Saya memang hargai momen ini. Selagi dia ada dan saya kuat untuk buat semua aktiviti sebegini, saya akan teruskan," katanya.

Wira Sudepja berkata, dia mula membawa anak kesayangan itu melakukan aktiviti luar sejak Nur Wadihan berusia enam tahun dan mengakui banyak cabarannya.

Bagaimanapun semuanya terkawal dengan memahami setiap keperluan anaknya dan memastikan Nur Wadihan cukup makan dan minum.

"Sebab itu bila buat aktiviti macam ini, yang lebih tiga jam.. akan dapat bantuan daripada kawan juga. Saya kena jaga keselamatan.

"Saya sudah dedahkan dia dengan aktiviti sebegini sejak umurnya enam tahun. Ini tahun kesembilan bersama dia. Bila bawa dia keluar, saya dapat tengok macam mana dia berinteraksi dengan dunia luar, secara tak langsung buat dia gembira.

"Apabila masuk acara besar, orang nampak dan jadikan ia sebagai inspirasi. Penerimaan orang lebih terbuka pada anak-anak istimewa. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak istimewa pun ikut juga cara macam ni," katanya.

Wira Sudepja berkata, dia dan Nur Wadihan menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas penyertaan mereka dalam acara duathlon (menaiki wheel chair).

"Menangis kegembiraan itu selalu, apatah lagi ketika menerima MBOR. Bukan apa, masa dia lahir, tak pernah terlintas dapat buat begini. Sampai ada orang cakap, boleh ke? Tapi, saya harungi cabaran untuk kebahagiaan dia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 10:35 PM