NIZARUDDIN Yusof
NIZARUDDIN Yusof
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Setiap pasukan harus berpijak di bumi nyata dalam menguruskan kewangan terutama dalam menawarkan gaji tinggi kerana sekiranya tidak mampu membayarnya, akan membawa penganiayaan kepada pemain serta mereka yang terbabit.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Nizaruddin Yusof, tindakan kelab dalam memberi janji manis untuk mendapatkan pemain terbaik tanpa melihat kemampuan dana menjadi punca utama sesebuah pasukan itu terpalit dengan isu gaji.

Jelasnya, pihak pengurusan yang bertanggungjawab harus peka dalam perkara ini dan tidak perlu mengikut pasukan besar seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam memberikan gaji tinggi kepada pemain mereka.

"Apa yang saya lihat, pihak pengurusan patut memainkan peranan terutama mengenai duit, tengok pada kantung sendiri (kemampuan pasukan. Namun, banyak pasukan yang ingin bersaing terutama dengan Selangor dan JDT.

"Mereka terpaksa melabur duit lebih untuk mencari pemain yang mereka fikir berkualiti, tapi dari segi perbelanjaan setiap bulan bergelut untuk membayar gaji. Pasukan yang mencari duit atau dana, mereka juga perlu tahu bagaimana nak berbelanja.

"Kita jangan ikut pasukan yang ada kewangan kukuh, kita ikut kemampuan sendiri. Kadang-kadang pasukan yang tawarkan (gaji tinggi kepada pemain). Sepatutnya pengurusan lebih tahu menguruskan supaya tidak gagal untuk selesaikan benda yang sepatutnya setiap bulan," katanya.

Melihat semakin banyak kelab terpalit dengan isu kewangan, beliau mencadangkan agar setiap pasukan menggunakan pemain muda berkualiti kerana sudah pasti dari segi gaji, ia tidak terlalu tinggi dan boleh menjimatkan kewangan kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:21 PM