Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Terengganu Ahmad Nordin Alias enggan berputih mata sebaliknya bertekad memburu kemenangan apabila bertemu Sime Darby FC, Sabtu ini.

Wira Piala FA 2011 itu yang beraksi cemerlang di posisi tengah bersama pemain import Gustavo Lopez, bertekad membalas kepercayaan pengurusan dengan meraih kemenangan kedua di stadium keramat Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu.

“Sebelum ini saya tidak pernah menjadi jeneral, tapi selepas kali pertama bertemu Selangor, semangat saya kian berkobar,” kata pemain berasal dari Medan Jaya, Marang itu.

Selain itu, pemain berusia 30 tahun itu mengakui kehadiran tiga pemain baru termasuk dua bintang import, Paulo Rangel, Lopez dan bekas pemain PKNS FC Mohd Helmi Rameli, menguatkan lagi keyakinannya untuk beraksi lebih baik.

“Saya tidak pernah beraksi dengan Lopez sebelum ini, tapi kini kami lebih berkeyakinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:39 AM