Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BAPA dan anak perempuannya yang menghidap Cerebral Palsy (CP) diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas berjaya menamatkan kayuhan basikal khas sejauh 222 kilometer (km) merentasi wilayah Satun, Thailand.

Pengiktirafan itu yang kedua diterima Wira Sudepja Rabu, 45, dan anaknya Nur Wadihan, 12, selepas pertama kali pada 2018 di acara Kerian Incredible Dualthon kategori Sprinter di Kerian, Perak dengan jarak 42km.

Sijil diserahkan kepada dua beranak itu oleh wakil MBOR Nurul Farihah Mahmood dan Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Zaidi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS), Padang Besar, hari ini.

Wira Sudepja berkata, sangat bersyukur apabila dapat sekali lagi mencipta rekod mengayuh basikal bersama anaknya mengelilingi Satun hingga ke Padang Besar.

Katanya, kayuhan itu bermula pada 5 pagi Jumaat lalu dan misinya untuk membuktikan bahawa anak istimewa seperti Nur Wadihan juga mampu mencipta rekod seperti orang lain.

“Pada hari pertama, kami bermula di Wang Kelian hingga ke bandar Satun sejauh 40 km, seterusnya ke Jeti Pat Bara yang berjarak 60km dan pulang melalui laluan sama ke Padang Besar.

“Syukur kerana anak saya mampu mencabar dirinya sendiri dalam keadaan cuaca panas dan saya berterima kasih kepada Yayasan Generasi Malaysia dan pihak Kuantan Port kerana sudi menaja kami,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, mereka hampir membatalkan misi itu apabila Nur Wadihan demam panas, dua hari sebelum memulakan perjalanan.

Dia berharap kejayaan mereka menjadi pemangkin semangat kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.

“Ini adalah satu daripada cara saya dan isteri (Nur Murni Dona Mohd Nordin, 46) membantu anak mengharungi kehidupan seperti orang lain.

“Kami sama-sama pernah mengalami tekanan, jadi cara ini sekurang-kurangnya kami boleh membantu anak kami menjalani kehidupan lebih baik pada hari mendatang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 4:25 PM
WIRA Sudepja (tengah) menerima sijil MBOR disampaikan wakil hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
WIRA Sudepja (tengah) menerima sijil MBOR disampaikan wakil hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.