GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa transaksi pembelian dan pengurusan vaksin Covid-19 diaudit secara komprehensif susulan lebih sembilan juta dos dilupuskan kerana tamat tempoh sehingga 11 Jun lalu.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, perkara itu menandakan pengurusan sumber kesihatan awam memerlukan ketelusan dan kebertanggungjawapan yang lebih mantap kerana membabitkan kerugian besar mencecah RM185 juta.

Menurutnya, polisi berhubung sistem perolehan, simpanan dan pengagihan vaksin perlu dikaji semula bagi mengelak perkara sama berulang.

"Cabaran yang dihadapi semasa pandemik Covid-19 adalah cabaran baharu yang tidak pernah dihadapi sebelum ini, jadi amat penting untuk menangani masalah sistematik yang mengakibatkan kerugian sedemikian.

"Kami memahami berlaku persaingan sengit di tahap global untuk menghasilkan vaksin dan kekurangan prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik.

"Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil tindakan yang lebih jitu bagi mengelak perkara sama berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jais berkata, proses audit yang komprehensif penting bagi mengenalpasti punca yang menyumbang kepada pembaziran itu di samping mengenakan tindakan sewajarnya kepada pihak yang bertanggungjawab.

Selain itu katanya, kaedah yang lebih baik perlu dihasilkan bagi meramal jumlah vaksin supaya yang diperoleh selari dengan keperluan di dalam negara agar pengurusan stok dapat dilaksanakan dengan baik untuk mengurangkan pembaziran.

"Pada masa sama komunikasi secara telus antara pihak berwajib dan orang awam berhubung pengurusan vaksin penting bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap inisiatif kesihatan.

"Pihak berwajib juga perlu menghasilkan dan melaksanakan SOP serta tata kelola baik sekiranya menghadapi krisis kesihatan awam di masa hadapan bagi memastikan pengurusan yang efisien serta penggunaan sumber lebih efektif.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sebanyak RM185 juta kerugian terpaksa ditanggung kerajaan bagi melupuskan vaksin Covid-19 yang sudah tamat tempoh.

Beliau dilapor berkata, jumlah kerugian itu termasuklah membabitkan kos logistik dan simpanan stok.

Dr Dzulkefly dipetik berkata, sehingga 11 Jun tahun ini juga, sebanyak 9.1 juta stok vaksin Covid-19 pelbagai jenama sudah luput di fasiliti KKM dan gudang simpanan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 2:01 PM