Hafiz Ithnin

Nur Wadihan Sudepja, 15, sejak dilahirkan mempunyai masalah cerebral palsy quadriplegia yang menyebabkan si gadis ini terlantar sepenuhnya.

Namun, di sebalik ujian untuk anak syurga itu, dia sudah mencipta dua rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR).

Kejayaan yang diraihnya bukan 'biasa-biasa' kerana kedua-dua rekod itu membabitkan aktiviti sukan yang dilihat dari mata kasar untuk anak istimewa seperti Nur Wadihan adalah sesuatu yang mustahil, tetapi itu realitinya!

Kali pertama Nur Wadihan atau lebih mesra disapa Dihan mencipta rekod menyertai sukan lasak duathlon (berlari-berbasikal-berlari) kategori sprinter sejauh 48 kilometer (km) di Kerian Perak pada Ogos 2018.

MBOR pertama Duathlon Bagan Serai Perak Ogos 2018 ketika acara larian.
MBOR pertama Duathlon Bagan Serai Perak Ogos 2018 ketika acara larian.

Kedua, dia mencipta rekod MBOR sekali lagi bagi penyertaan basikal rentas sempadan Malaysia-Thailand sejauh 222.2km pada Januari 2020.

Kedua-dua rekod itu dicipta Dihan bersama bapanya, Wira Sudepja Rabu, 48, yang melihat aktiviti sukan menjadi terapi minda terbaik untuk anak istimewanya.

Bercerita sedikit kisah Dihan, Wira berkata, ketika dilahirkan gadis itu tidak cukup bulan dan lemas dalam kandungan.

Malah, berada pada tahap kritikal. Lebih menyentuh perasaan, Dihan dikatakan sudah tidak mempunyai harapan untuk hidup.

AKTIVITI sukan menjadi terapi jiwa kepada Wira dan anaknya, Dihan.
AKTIVITI sukan menjadi terapi jiwa kepada Wira dan anaknya, Dihan.

"Dengan kuasa Tuhan, Dihan dapat bertahan, tetapi tidak normal seperti kanak-kanak lain kerana dia disahkan menghidapi celebral palsy quadriplegia yang mengakibatkan dia terlantar sepenuhnya.

"Tahap imunisasi Dihan juga lemah menyebabkan dia mudah diserang penyakit terutama jangkitan paru-paru atau pneumonia.

"Jadi, sejak dilahirkan, kami lebih berhati-hati membawanya keluar rumah kerana khuatir tahap kesihatan Dihan," katanya.

Wira berkata, tahap kesihatan Dihan memberi kesan kepada mereka sekeluarga sehinggakan dia sering diserang kebimbangan melampau atau 'anxiety'.

DIHAN kerap dimasukan ke wad ketika bayi.
DIHAN kerap dimasukan ke wad ketika bayi.

"Melihat situasi diri sendiri, saya mula berbincang dengan isteri, Nur Murni Dona Mohd Nordin, 49, untuk aktif bersukan.

"Jadi, saya mula menyertai aktiviti berbasikal dan terdetik untuk membawa Dihan bersama-sama. Pada 2014, ketika itu Dihan berusia enam tahun, saya membawanya berbasikal dalam acara KL Car Free," katanya.

Sambungnya lagi, ketika kali pertama membawa Dihan, dia khuatir mengenai persepsi orang sekeliling kerana membawa anak istimewa berbasikal.

"Namun, sangkaan saya meleset kerana kami menjadi tumpuan ramai termasuk datuk bandar ketika itu yang meraikan kehadiran saya sekeluarga.

"Acara itu menjadi pencetus untuk saya aktif bersama Dihan melakukan aktiviti berbasikal dan menyertai acara larian bersama-sama," katanya.

WIRA dan Dihan ketika berbasikal melalui Genting Sempah.
WIRA dan Dihan ketika berbasikal melalui Genting Sempah.

Ketika melakukan aktiviti larian Dihan diletakkan dalam 'stroller' yang diubah suai untuk kegunaan anak istimewa. Bagi aktiviti berbasikal, Dihan duduk di belakang dalam trailer basikal.

Katanya, pada awalnya sukar untuk dia mendapatkan trailer basikal kerana di Malaysia tidak banyak pengedar barangan itu.

"Hampir setahun juga saya berusaha mencari trailer dan syukur akhirnya dapat. Perasaan ketika itu seolah-olah mendapat kereta mewah kerana mampu membawa Dihan dalam keadaan selesa bagi aktiviti bersukan.

"Apatah lagi di awal aktiviti ini, isteri dan anak sulung saya, Nur Wirdani Wira Sudepja yang kini berusia 21 tahun turut menyertainya," katanya.

Katanya lagi, ketika dia dan Dihan berbasikal, isterinya menjadi kru pengiring bagi menyediakan pelbagai keperluan Dihan serta dirinya.

"Sejak kami sekeluarga aktif dalam aktiviti ini dan mencipta dua rekod dalam MBOR, emosi Dihan dan kami sekeluarga bertambah baik.

"Dihan jika berbasikal atau mengikuti saya berlari, kita boleh lihat dia begitu ceria berbanding hanya terlantar di rumah. Jadi, aktiviti ini adalah terapi terbaik untuk keluarga yang mempunyai anak istimewa seperti kami," katanya.

AKTIVITI larian yang disertai Kelab Bikeisable.
AKTIVITI larian yang disertai Kelab Bikeisable.

Bermula dari kisah Dihan, keluarga Wira menjadi pencetus untuk menubuhkan Kelab Bikeisable sejak 2018 disertai lebih 100 keluarga yang mempunyai anak istimewa dan ketika ini aktif antara 20 hingga 30 keluarga.

Katanya, di Malaysia begitu banyak penganjur acara sukan yang memberikan penyertaan percuma kepada anak-anak istimewa menyertai acara yang mereka anjurkan.

"Perkara ini menunjukkan bahawa masyarakat kita sebenarnya amat menghargai anak-anak istimewa dalam acara sukan.

"Bersandarkan pengalaman saya, aktiviti sukan bukan sahaja baik untuk anak istimewa, tetapi juga seisi keluarga yang mempunyai cabaran tersendiri membesarkan anak syurga ini," katanya.

Setakat ini, Dihan dan Wira sudah berbasikal di tujuh lokasi terkenal dengan cabaran pendakian antaranya Gunung Jerai di Kedah, Bukit Miku (Negeri Sembilan), Sungai Como (Terengganu), Wang Kelian Perlis, Fraser's Hill (Pahang), Bukit Jugra (Selangor) dan Stelvio Bukit Antarabangsa (Kuala Lumpur).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 6:20 AM