ANTARA abu daripada proses pemulian dan pelupusan teks al-Quran sekitar Pulau Kapas, Terengganu. FOTO Ihsan Bahagian Penguatkuasa KDN
ANTARA abu daripada proses pemulian dan pelupusan teks al-Quran sekitar Pulau Kapas, Terengganu. FOTO Ihsan Bahagian Penguatkuasa KDN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sebanyak dua tan abu daripada 4,015 teks dan bahan cetakan al-Quran yang melalui proses pelupusan dan pemuliaan, dilepaskan ke perairan Pulau Kapas, di Terengganu semalam.

Majlis pemuliaan itu dilaksanakan sempena Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) kali Ke-11/ bil 2.2024.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Nik Yusaimi Yussof berkata, proses pelupusan itu membabitkan bahan cetakan al-Quran yang mengandungi pelbagai kesalahan dan tiada perakuan.

"Proses ini dilaksanakan pada jarak melebihi 10 batu nautika dengan kedalaman 25 meter di perairan Pulau Kapas.

"Agensi-yang terbabit antaranya pejabat mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Yusaimi berkata, sebanyak 47,245 unit naskhah atau teks al-Quran dari seluruh negara sudah diluluskan untuk dilupuskan melalui proses pemuliaan.

Katanya, proses pemuliaan dilaksanakan ke atas bahan cetakan al-Quran yang tiada perakuan KDN dan mengandungi pelbagai kesalahan pada ayat.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 16,719 naskhah al-Quran tanpa perakuan KDN berjaya dikeluarkan daripada penggunaan masyarakat melalui program sukarela Jom Exchange al-Quran (JEQ).

"Keberhasilan program berimpak tinggi JEQ di seluruh negara bagi merealisasikan misi KDN iaitu 'Ke Arah Sifar al-Quran Tiada Perakuan KDN' sehingga Jun lalu berjaya menarik keluar secara sukarela sejumlah cetakan tanpa perakuan.

"Teka al-Quran berkenaan bukan sahaja tiada perakuan malah mengandungi pelbagai kesilapan pada ayat," katanya.

Sementara itu katanya, sebanyak 21 pruf akhir teks al-Quran mendapat kelulusan dalam mesyuarat itu menjadi jumlah keseluruhan pruf yang dibenarkan untuk dicetak, diterbit, diimport dan dijual sebanyak 994 jenis.

"LPPPQ membuat keputusan bahawa pemegang Lesen Mesin Cetak al-Quran (LMCQ) yang di dapati melanggar mana-mana syarat lesen, garis panduan atau APTQ akan dikenakan tindakan pembatalan lesen mesin cetak.

"Bagi syarikat atau mana-mana pihak yang dibatalkan lesen tidak boleh memohon lesen baharu selama tempoh dua tahun daripada tarikh dibatalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:20 PM