AARON dan Wooi Yik ketika sesi latihan minggu lalu.
AARON dan Wooi Yik ketika sesi latihan minggu lalu.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terselamat daripada kumpulan maut apabila diundi dalam kumpulan A di temasya Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, mereka perlu berdepan beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Jika dilihat di atas kertas Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kelima itu tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir selepas diundi bersama Ben Lane-Sean Vendy dari Great Britain di ranking ke-18 dunia dan gandingan Kanada, Dong Adam-Nyl Yakura (32).

Dalam majlis undian bagi beregu lelaki yang ditangguh daripada jadual asal pada Jumaat lalu ke hari ini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), Wei Keng-Chang dilihat menjadi satu-satunya pencabar utama dalam kumpulan berkenaan.

Daripada lapan pertemuan menentang Wei Keng-Chang, Aaron-Wooi Yik hanya berjaya meraih dua kemenangan.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik mendapat tonik terbaik yang mana kali terakhir bertemu pasangan China itu adalah di Piala Thomas Mei lalu yang menyaksikan Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan 15-21, 21-12, 21-17.

Sementara itu rekod pertemuan ke atas beregu Great Britain itu adalah empat kemenangan berbalas satu semetara mereka belum pernah berdepan Adam-Yakura dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.

Badminton akan membuka tirai kejohanan pada 27 Julai yang mana juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya membawa pulang pingat gangsa di Tokyo 2020 sebelum mereka meraih gelaran juara dunia sulung buat negara pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 8:35 PM