DR Zaliha melakukan penggulungan ketika Majlis Sidang Belia Wilayah Persekutuan 2024, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DR Zaliha melakukan penggulungan ketika Majlis Sidang Belia Wilayah Persekutuan 2024, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Jabatan Wilayah Persekutuan akan memperkenalkan pasukan KL Strike Force bagi membanteras pelbagai isu dibangkitkan di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pasukan itu akan diperkenalkan secepat mungkin dan ia akan merangkumi pelbagai agensi lain termasuk dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Imigresen.

Katanya, dengan adanya pasukan itu kelak, ia sekali gus mampu membantu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan pantas atas segala laporan yang diterima.

"Kita ada satu pasukan baharu yang akan ditubuhkan iaitu KL Strike Force di bawah Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan.

"Pasukan ini nanti akan laksanakan operasi berkaitan keselamatan dan perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) Penggal 2024, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Anwar menyifatkan wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara yang masih tidak selesai sejak sekian lama.

Dalam isu pelacuran di Kuala Lumpur, beliau percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke arah untuk turut masuk campur termasuk yang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Zaliha berkata pasukan itu juga akan menyelesaikan masalah lain termasuk isu peniaga dan penjaja di Kuala Lumpur.

"Pihak sekretariat sedang melihat terma rujukannya dan apabila sudah sedia nanti, kita akan maklumkan," katanya.

Mengenai SBWP, Zaliha berkata sebanyak 15 usul dikemukakan dan daripada jumlah itu 12 diterima oleh pihaknya.

Katanya usul yang diberikan itu merangkumi beberapa kluster termasuk soal ekonomi, sosial, teknologi, perundangan dan dasar, alam sekitar dan kelesterian alam.

"Kebanyakan isu yang dibawa menyentuh soal perumahan belia dan menjadi topik agak luas dibincangkan oleh mereka.

"Ada juga permintaan supaya sidang akan datang diadakan sebelum sesi belanjawan, jadi saya akan pertimbangkan kerana itu adalah cadangan baik supaya mereka dapat beri maklum balas sebelum kita kemukakan cadangan bajet kepada Kementerian Kewangan," katanya..

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 7:44 PM