DR Dzulkefly (tengah) berucap pada Sesi Taklimat dan Soal Jawab berkaitan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di Parlimen hari ini. FOTO Bernama
DR Dzulkefly (tengah) berucap pada Sesi Taklimat dan Soal Jawab berkaitan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 'berat sebelah' kerana didakwa tidak memberi penekanan kepada program sarjana perubatan di institusi pengajian tinggi tempatan berbanding Program Parallel Pathway adalah tidak benar.

Ini kerana usaha kerajaan melakukan dalam perkara berkenaan apabila memperuntukkan untuk latihan kepakaran perubatan bagi tempoh lima tahun, 2019 hingga 2023 sebanyak RM365.4 juta sudah dibelanjakan bagi menaja pegawai perubatan di KKM bagi mengikuti latihan kepakaran.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, justeru dakwaan itu tidak tepat.

"Jadi apa pun persepsi bahawa kita memberi kepentingan kepada program antarabangsa (termasuk) daripada sudut peruntukan kewangan pun jelas ia tidak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada taklimat media khas mengenai Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, mengenai pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50)) ia dilakukan supaya diharmonikan dan diatur membabitkan dua perkara.

"Punca utama adalah pindaan ini dibuat supaya diharmonikan diletakkan ketidakaturan peraturan adalah untuk pastikan dua perkara.

"Pertama kuantiti pakar yang akan kita dapat jana, dalam bukan saja menggunakan sarjana perubatan, juga laluan (Program Parallel Pathway) dan kedua kualiti.

"Ada dua jalur kepakaran dan isu selalu ditanya adalah kualiti dan bagaimana bertemu dengan kuantiti yang mahu dijamin dengan pindaan ini," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai peruntukan latihan kepakaran perubatan, Timbalan Pengarah Cawangan Perkembangan Profesion Perubatan Bahagian Perkembangan Perubatan KKM Dr Hirman Ismail berkata, bagi tempoh 2019 hingga 2023 sebanyak RM365.4 juta sudah dibelanjakan bagi menaja pegawai perubatan di KKM bagi mengikuti latihan kepakaran.

"Yang mana sebahagian besar iaitu 96 peratus atau RM352.3 juta adalah untuk program sarjana universiti awam, manakala selebihnya 4 peratus atau RM13 juta untuk Parallel Pathway untuk tempoh sama," katanya.

Beliau yang juga pakar perubatan kesihatan awam berkata, sementara itu, untuk tahun ini, peruntukan itu ditingkatkan iaitu RM142.4 juta dan RM10 juta untuk Parallel Pathway.

"Jadi jumlah keseluruhan untuk penajaan latihan kepakaran untuk kedua-dua laluan adalah RM152.4 juta untuk tahun 2024," katanya.

Katanya, dalam senarai jadual keempat juga jumlah kelulusan (kepakaran) daripada universiti tempatan jauh melebihi kelulusan disenaraikan yang dianugerahkan oleh institusi luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 7:23 PM