JALAN utama sekitar pusat bandar menghala ke Istana Negara dihiasi dengan banting gambar-gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebagai persediaan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Julai ini. FOTO Bernama
JALAN utama sekitar pusat bandar menghala ke Istana Negara dihiasi dengan banting gambar-gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebagai persediaan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Julai ini. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota ditutup secara berperingkat sempena acara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penutupan sementara itu bermula jam 8 pagi bagi acara Istiadat Pertabalan dan jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.

"Penutupan jalan secara sementara ini adalah untuk memberi laluan kepada tetamu Diraja melalui laluan berkenaan dan sampai mengikut masa yang ditetapkan.

"Ia akan dibuka semula selepas tetamu berkenaan melalui laluan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdi berkata, jalan yang terbabit adalah, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail Lebuhraya Sultan lskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan menempatkan 387 pegawai kanan serta pegawai rendah polis bagi melaksanakan penugasan mengiring orang kenamaan, mengawal lalu lintas, menguatkuasakan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya," katanya.

Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui laluan yang terbabit bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 7:57 PM