LIM Guan Eng ketika hadir pada hari pertama perbicaraan kes saman yang difailkannya terhadap Muhyiddin berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Al-Bukhary di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. FOTO Bernama
LIM Guan Eng ketika hadir pada hari pertama perbicaraan kes saman yang difailkannya terhadap Muhyiddin berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Al-Bukhary di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. FOTO Bernama
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tiada pilihan selain terpaksa memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Guan Eng berkata, ia adalah kerana Muhyiddin masih mengeluarkan kenyataan memfitnahnya berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary dan enggan memohon maaf walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian.

Guan Eng yang menjawab soalan tambahan daripada peguamnya, Guok Ngek Seong pada sesi pemeriksaan utama, berkata kenyataan fitnah Muhyiddin itu menyentuh isu 3R iaitu Raja, agama dan kaum.

"Isu berhubung saya membatalkan pengecualian cukai sebuah organisasi kebajikan Islam adalah tidak berasas dan dibuat tanpa disokong bukti dokumen. Saya tidak pernah batalkan pengecualian ketika menjadi menteri kewangan.

"Sebelum saya memulakan tindakan terhadap defendan (Muhyiddin), saya memberi peluang kepadanya dengan mengeluarkan beberapa kenyataan supaya menarik balik dan memohon maaf berhubung kenyataan berunsur fitnah itu.

"Bagaimanapun defendan gagal dan enggan berbuat demikian, yang menunjukkan betapa angkuhnya beliau. ia menyebabkan reputasi dan imej saya sebagai ahli politik terjejas teruk disebabkan kenyataan fitnah berkenaan.

Guan Eng berkata, tindakan Muhyiddin itu cuba mengalihkan perhatian siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pertuduhan berkaitan Projek Jana Wibawa terhadapnya.

Katanya, kenyataan fitnah itu juga disebarkan secara meluas melalui akaun Facebook defendan yang menarik sebilangan besar pembaca dan komen serta mendapat liputan pelbagai media.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:40 PM