Kilafairy
Kilafairy
Ridzuan Abdul Rahman

 

 

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Kilafairy memaklumkan dirinya masih diselubungi kesedihan mendalam dengan kematian ibunya, penyanyi popular era 1980-an Rohana Jalil pada 20 Jun tahun lalu.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 32, berkata, dia masih dibayangi momen sedih menjaga ibunya di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir. 

"Tawaran berlakon yang datang memerlukan saya menjalani penggambaran 90 peratus di hospital. Jadi saya terpaksa tolak kerana tidak bersedia lagi untuk buat. 

"Bayangkan sebelum ini saya habiskan masa tiga bulan menjaga mama di hospital, jadi apabila 90 peratus penggambaran di hospital, ia buatkan   saya teringat kepada mama," katanya. 

Menurutnya, dia seboleh mungkin mengelak untuk menjalani penggambaran membabitkan babak hospital kerana masih tidak dapat melupakan kesedihan kehilangan ibunya. 

"Tidak pasti sama ada trauma atau tidak, mungkin juga kerana saya sentiasa dengan mama di hospital menyebabkan saya sukar untuk melupakan kenangan itu. 

"Saya juga sering teringat dan memikirkan berkenaan itu apabila setiap kali berkunjung ke hospital. Jadi kalau boleh saya ingin mengurangkan rasa kesedihan ini," katanya 

Kilafairy bagaimanapun berkata, dia tiada masalah untuk menjalani penggambaran di hospital sekiranya hanya membabitkan beberapa babak sahaja. 

"Sejujurnya saya tiada masalah untuk berlakon di hospital, cuma apabila melibatkan hampir 90 peratus penggambaran, pada saya agak keterlaluan. 

"Jika ingin saya melakonkan babak sedih seperti kematian ibu kerana ingin melihat perasaan semula jadi, saya tidak kisah. Tetapi bukan sepenuhnya menjalani penggambaran di hospital," katanya. 

Kilafairy juga menolak tanggapan penolakan berlakon ini menjejaskan kerjayanya sebagai pelakon. 

"Saya dah berikan kerjasama baik dan mudah bertolak ansur dengan produksi sebelum ini. Cuma saya tidak tahu mengapa saya masih belum cukup kuat untuk melakonkan babak di hospital. 

"Saya anggap ini sebagai ujian sebelum saya benar-benar bersedia untuk berlakon semula. Sebelum ini, saya fikir dengan seharian menangis membuatkan saya rasa okay, tapi sebenarnya tidak dan perasaan sedih itu tetap datang. 

""Saya ada juga bertanya dengan kawan-kawan adakah ini biasa, dan mereka mengatakan rasa sedih itu tidak akan berakhir dan selamanya akan ada dalam diri kita. 

"Jadi sekarang bergantung kepada diri saya sendiri mengenai bagaimana untuk mengatasi perasaan sedih itu," katanya. 

Terdahulu Allahyarham Rohana atau Dara Abdul Jalil, 69, dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur akibat mengalami kebocoran usus. 

Penyanyi lagu Rayuanku ini bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir selepas dua bulan mendapat rawatan akibat penyakit itu. 

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:09 PM