SEORANG peserta cilik cuba mengelak dilempar serbuk pewarna.
SEORANG peserta cilik cuba mengelak dilempar serbuk pewarna.
Zaitie Satibi


PESERTA ditabur dengan serbuk warna-warni sepanjang larian antara kemeriahan dalam program Selangor Corporate Colour Run (SCCR) 2019 di Shah Alam, baru-baru ini. Malah, warna merah, biru, hijau dan kuning yang disebarkan menjadi simbolik kepada peserta untuk merasakan kegembiraan serta menikmati keharmonian dengan cara hidup yang sihat.

Acara larian anjuran Kelab Rekreasi Invest Selangor (KRIS) yang disertai kira-kira 2,300 peserta itu terbahagi kepada kategori pengurusan tertinggi syarikat korporat sejauh tiga kilometer (km) dan kategori terbuka 5km untuk orang awam.

Program bermula jam 7 pagi itu menyaksikan peserta pelbagai usia dilepaskan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di perkarangan Stadium Shah Alam sebelum berakhir di tempat pelepasan. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris.

Larian berkonsepkan penuh warna-warni didahului dengan peserta mengenakan baju berwarna putih, kemudian mereka akan dilemparkan dengan serbuk warna di sepanjang laluan yang ditetapkan sebelum bermandikan serbuk berwarna itu dari hujung kepala ke kaki.

Malah, sepanjang larian itu peserta yang menyusuri laluan sekitar stadium negeri tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan bersama keluarga mahupun rakan berlatar belakangkan suasana acara penuh keriangan.

PAKAIAN seorang peserta dipenuhi serbuk warna-warni.
PAKAIAN seorang peserta dipenuhi serbuk warna-warni.

Program julung kali diadakan KRIS itu mempromosikan kempen gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat dan komuniti perindustrian di Selangor.

Larian warna dianjurkan sebagai kelainan dalam penganjuran program santai selepas dua tahun berturut-turut dianjurkan acara berbasikal dalam kalangan pemain industri.

Usaha yang dapat merapatkan hubungan sesama pemain industri di negeri berkenaan juga sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat apabila sebahagian dana terkumpul akan disumbangkan kepada badan kebajikan Kiwanis Down Syndrome Foundation melalui kategori khas iaitu Corporate Charity Run.

Hadiah ditawarkan bagi kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita adalah RM350 bagi pemenang pertama; kedua RM250; ketiga RM150 serta RM100 (tempat 4-10); RM80 (tempat 11-15); RM70 (tempat 16-20) dan RM60 untuk tempat 21 sehingga 25.

PESERTA dilepaskan Amirudin (tiga kiri) di pekarangan Stadium Shah Alam.
PESERTA dilepaskan Amirudin (tiga kiri) di pekarangan Stadium Shah Alam.

ACARA zumba dilakukan sebelum larian bagi memanaskan badan.
ACARA zumba dilakukan sebelum larian bagi memanaskan badan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 5:40 AM