WIRA Sudepja (tiga dari kanan) bersama Nur Wadihan yang menghidap CP menerima Sijil Pengiktirafan MBOR selepas menamatkan acara Kerian Incredible Dualthon kategori Sprinter di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
WIRA Sudepja (tiga dari kanan) bersama Nur Wadihan yang menghidap CP menerima Sijil Pengiktirafan MBOR selepas menamatkan acara Kerian Incredible Dualthon kategori Sprinter di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


KALAU hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Itu kesungguhan dipamerkan seorang bapa yang membawa anaknya penghidap Cerebral Palsy (CP) menggunakan roda khas menyertai acara Kerian Incredible Dualthon kategori Sprinter, hari ini.

Lebih manis, Wira Sudepja Rabu, 43, bersama anak bongsunya Nur Wadihan Wira Sudepja, 10, bukan sahaja berjaya menamatkan larian dan kayuhan sejauh 42 kilometer (km), malah kejayaan mereka turut diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR).

Wira Sudepja bersyukur dapat menamatkan acara itu biarpun terpaksa membawa anaknya di dalam pengangkutan khas di samping diuji dengan beberapa rintangan.

“Bagi kategori Sprinter, saya perlu berlari sejauh lima kilometer, mengayuh basikal sejauh 32km dan sekali lagi perlu berlari sejauh lima kilometer.

“Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan larian ini biarpun diuji dengan cuaca panas serta anak meragam ketika acara larian dan kayuhan.

“Apabila dia (anak) meragam, saya perlu mendukungnya sambil menepuk dan mengurut badannya bagi menenangkannya kembali sebelum meneruskan larian dan kayuhan,” katanya.

Wira Sudepja berkata, jika anaknya terus dalam keadaan tidak selesa, dia mungkin terpaksa membatalkan penyertaan itu, sekali gus meleburkan impiannya untuk mencipta nama di dalam MBOR.

Beliau dan anaknya memulakan acara pada 7.30 pagi dan menamatkan kategori Sprinter itu kira-kira empat jam kemudian manakala pemberian sijil pengiktirafan diterima daripada wakil MBOR, Edwin Yeoh, pada 12 tengah hari.

Wira Sudepja tidak menyasarkan sebarang kedudukan dalam acara itu, sebaliknya hanya mahu menamatkan larian berkenaan sambil berharap penyertaan beliau dan anaknya itu membolehkan orang ramai lebih prihatin dan menunjukkan sikap kebersamaan dengan golongan orang kurang upaya (OKU).

“Itu salah satu sebab utama kenapa saya membawa anak sakit terlantar menyertai acara ini apabila saya ingin menerapkan nilai kebersamaan masyarakat dengan golongan OKU.

“Sememangnya golongan seperti ini banyak kekangan dan perlukan sokongan serta dorongan masyarakat untuk sama-sama meraikan dan diraikan,” katanya.

Wira Sudepja dan keluarga mula membawa Nur Wadihan keluar bersiar-siar dengan cara berbasikal sejak kira-kira enam tahun lalu dan melihat tindakan itu memberi perkembangan positif untuk kesihatan anaknya apabila lebih gembira dan mulai tersenyum.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak seperti itu supaya tidak malu dan jangan berputus asa dalam menjaga dan menggembirakan mereka.

“Sebelum ini doktor yang merawat anak saya pernah memaklumkan hayatnya mungkin tidak lama.

“Alhamdulillah, berkat usaha tidak putus asa di samping membabitkan diri secara aktif dalam pertubuhan penyakit seperti ini, sedikit sebanyak kami sekeluarga dapat menjaga dan merawatnya malah tahap kesihatan Nur Wadihan semakin meningkat membolehkannya meneruskan kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 9:27 PM