REBAK Marina Langkawi yang bakal dimeriahkan dengan kehadiran 20 kapal layar bagi menyertai perlumbaan Regata Sosial Pulau Rebak. FOTO Hamzah Osman
REBAK Marina Langkawi yang bakal dimeriahkan dengan kehadiran 20 kapal layar bagi menyertai perlumbaan Regata Sosial Pulau Rebak. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Sebanyak 20 kapal layar tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan di Regata Sosial Pulau Rebak (RSPR) 2024, akhir bulan ini.

Perlumbaan kapal layar edisi sulung anjuran Rebak Marina Langkawi itu bakal berlangsung dari 27 dan 28 Julai ini di Pulau Rebak, di sini.

Pengurus Rebak Island Resort & Marina Langkawi, Hafiz Hashim berkata, negara yang mengambil bahagian adalah Australia, Afrika Selatan, Belanda, New Zealand, Perancis, Jerman, Singapura dan tuan rumah, Malaysia.

"Antara matlamatnya mewujudkan rasa keakraban dalam kalangan komuniti marina yang memiliki pelbagai latar belakang dan pengalaman, selain menonjolkan keunikan dan keistimewaan marina di negara ini.

"Dua kategori dipertandingkan iaitu Monohull dan Multihull dengan penilaian juri fokus kepada kemahiran menghormati semangat berpasukan dan kemasyarakatan," katanya dalam kenyataan yang diedarkan di sini, hari ini.

Hafiz berkata, RSPR juga bertujuan memeriahkan suasana di marina yang menjadi tempat persinggahan pemilik kapal layar dari seluruh dunia serta menyemarakkan sukan air di pulau ini.

"Selain berpeluang menerima hadiah, peserta sudah pasti berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di persekitaran Pulau Rebak dan Pulau Tepor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:42 PM