LIM Guan Eng
LIM Guan Eng
Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengingatkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak campur tangan berhubung keputusan kerajaan negeri menamatkan kontrak dua wakil rakyat PKR dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Guan Eng berkata, Mohamed Azmin tidak wajar berbuat demikian selain perlu menghormati prinsip tidak mencampuri urusan kerajaan negeri ditadbir pakatan pembangkang seperti disepakati pada 2008.

“Saya hairan dengan kenyataan beliau (Mohamed Azmin). Sebagai Menteri Besar dan Ketua Menteri, kami sepakat tidak campur tangan dalam urusan kerajaan negeri lain yang ditadbir pakatan pembangkang dan amalan ini disepakati sejak 2008.

“Ini kali pertama beliau berminat dengan isu yang bukan dalam pentadbiran Selangor. Saya kurang pasti mengapa tiba-tiba beliau mahu masuk campur dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menggugurkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR iaitu Ong Chin Wen (Bukit Tengah) dan Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) daripada jawatan mereka dalam GLC.

Ong sebelum ini dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Island Golf Properties Bhd (IGP) iaitu sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) manakala Cheah adalah Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bukit Bendera (PHC).

Perkhidmatan mereka dikatakan ditamatkan awal Februari lalu susulan keputusan kedua-dua ADUN itu bersikap berkecuali ketika usul tambakan laut dibentangkan ADUN Pulau Betong yang mewakili Barisan Nasional (BN), Muhammad Farid Saad pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), November lalu.

Selain Ong dan Cheah, tiga wakil rakyat PKR lain dan seorang ADUN DAP turut bersikap berkecuali terhadap usul berkenaan namun tiada tindakan diambil ke atas mereka setakat ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pihaknya belum menerima bantahan rasmi daripada Biro Politik PKR berhubung pemecatan dua wakil rakyat PKR itu.

“Saya dimaklumkan bantahan terbabit dihantar sejak dua minggu lalu, bagaimanapun sehingga kini kita masih belum menerimanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 8:14 AM