Guan Eng
Guan Eng
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: “Saya mencabar Barisan Nasional (BN) membawa usul tidak percaya terhadap saya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang,” kata Ketua Menteri Lim Guan Eng pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, semalam.

Guan Eng berkata, cabaran itu perlu dibuat Ketua Pembangkang DUN Datuk Jahara Hamid selepas mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beliau bersedia untuk berdepan undi tidak percaya sekiranya dibentangkan.

Beliau mengakui bersedia untuk berdepan undi tidak percaya sekiranya dibentangkan dan tidak akan lari kerana ia sebahagian daripada proses demokrasi.

“Saya mencabar BN untuk membawa usul tidak percaya terhadap saya pada Sidang DUN akan datang.

“Undi tidak percaya dibenarkan asalkan ia dibawa Jahara sebagai Ketua Pembangkang dalam sidang DUN akan datang,” katanya.

Kelmarin, DAP menarik semula cadangan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang selepas gagal mendapat persetujuan serta kata sepakat PKR.

Ia termasuk Guan Eng tidak bersetuju dengan permintaan PKR untuk menyerahkan sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi DAP kepada PKR sekiranya PRN diadakan.

Pembatalan PRN itu turut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Parti Amanah Negara (PAN) dan BN sendiri.

Pengerusi PAN negeri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pengumuman Guan Eng untuk membatalkan cadangan mengadakan PRN menunjukkan tanda komited DAP yang menepati janji dan tidak membuat keputusan tanpa persetujuan bersama komponen Pakatan Harapan.

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, UMNO Pulau Pinang tidak terkejut dengan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu kerana beliau gagal mendapat kata sepakat daripada PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 5:46 AM