Mohd Hilmi Mahmud


Georgetown: DAP terpaksa menarik semula hasrat bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kelmarin memaklumkan tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, cadangan kerajaan DAP negeri mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang tidak berjaya selepas DAP dan PKR gagal mendapat persetujuan bersama.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkata, PKR tidak bersetuju dengan PRN itu berikutan bimbang akan hilang lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding DAP sekiranya bertanding.

“Selain itu, kita juga tidak bersetuju dengan permintaan PKR supaya DAP menyerahkan sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi DAP kepada parti itu sekiranya PRN diadakan,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (PRN) Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan Guan Eng mengumumkan tiada pilihan raya itu adalah tanda komitmen DAP yang menepati janji dan tidak akan membuat keputusan tanpa persetujuan bersama.

“Parti Amanah mengucapkan tahniah dan berterima kasih di atas komitmen Ketua Menteri kepada janjinya semasa isu PRN mengejut dilontarkan oleh DAP.

“Parti Amanah juga mengambil serius semasa proses perundingan berlaku bahawa ada sesetengah pihak yang memandang rendah keberadaan Parti Amanah dalam suasana parti kami berhadapan dengan berbagai serangan dan ugutan daripada PAS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, UMNO Pulau Pinang tidak terkejut dengan tindakan Ketua Menteri itu berikutan tiada kata sepakat daripada sekutunya, PKR.

“Kegagalan DAP meyakinkan PKR menunjukkan bahawa tiada kesepakatan sebenarnya dalam pakatan parti-parti pembangkang yang dianggotai oleh PKR DAP dan PAN. Masing-masing parti dengan agenda politik mereka sendiri.”

“Percakaran dan pertengkaran di antara beberapa pemimpin tinggi DAP dan PKR di media adalah bukti ketidaksefahaman mereka dalam isu Pilihan Raya Negeri.”, katanya.

Menurut beliau, Lim Guan Eng juga perlu berundur kerana telah gagal untuk meyakinkan rakan-rakan politiknya untuk bersetuju dengan cadangan beliau mengadakan ‘snap poll’ yang kini dibatalkan.

“Ia melambangkan satu kegagalan politik peribadi kepada Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP serta DAP sendiri yang sering berlagak seolah-olah mereka adalah parti dominan dalam pakatan parti-parti pembangkang.

“UMNO Pulau Pinang akan tetap meneruskan persediaannya dan bekerjasama dengan rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional Pulau Pinang melaksanakan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO negeri , pilihan raya ini tidak diteruskan kerana DAP menyedari ia akan menguntungkan Barisan Nasional (BN), malah mungkin menyebabkan Pulau Pinang kembali menjadi milik Barisan Nasional.

Ketuanya Rafizal Abd Rahim berkata, BN berada dalam keadaan cukup selesa untuk menghadapi PRN dan sekali gus memenangi kerusi tambahan DUN di negeri Pulau Pinang.

“Jentera BN berada dalam keadaan bersiap siaga untuk berhadapan dengan DAP-PKR sejak tiga tahun lalu.

“Perpecahan yang cukup serius komponen Pakatan Harapan ini dapat dilihat apabila mereka gagal dalam mencapai konsensus dalam bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh parti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 9:01 AM