GUAN Eng
GUAN Eng
Oleh Muhammad Yusri Muzamir


Georgetown: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Ching Wen digesa supaya mendedahkan pemimpin PKR Pusat yang dihubunginya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu.

Gesaan itu dibuat Ketua Menteri, Lim Guan Eng, ekoran beliau masih tidak berpuas hati dengan tindakan lima ADUN PKR yang berkecuali ketika sesi pengundian usul wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung isu penambakan laut.

Guan Eng berkata, pemimpin PKR Pusat yang dihubungi Ong itu perlu didedahkan bagi memastikan kenyataan yang dikemukakan beliau itu adalah benar.

“Ini kerana beliau sebelum ini ada membuat kenyataan bahawa beliau menghubungi pemimpin PKR Pusat untuk memaklumkan mengenai keputusannya itu.

“Kita (kerajaan DAP Pulau Pinang) nak tahu adakah pemimpin itu dari negeri ini atau sebaliknya. Kita juga ingin tahu sama ia sudah dirancang oleh mereka atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Jumaat lalu, lima ADUN PKR memilih untuk berkecuali dalam usul yang dibawa ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, supaya sebarang projek tambak laut di negeri itu dibentang untuk pendengaran awam terlebih dulu sebelum dimuktamadkan.

Mereka ialah Ong, Dr Norlela Ariffin (Penanti), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T Jayabalan (Batu Uban).

Pada masa sama, Guan Eng menegaskan, kerajaan DAP Pulau Pinang sudah hilang keyakinan terhadap Ong dan empat lagi ADUN PKR yang berbuat demikian.

“Saya rasa tindakan itu menunjukkan dengan jelas sikap mereka yang bukan sebahagian daripada kerajaan negeri. Kita rasa ia adalah suatu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Ong kena ingat kalau dia sebahagian daripada kerajaan negeri, dia kena bersikap dan bertindak sebagai ahli kerajaan, bukannya mengikut suka hati sendiri.

“Justeru, mereka perlu bina semula keyakinan kerajaan negeri untuk buktikan mereka benar-benar menyokong kerajaan negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 9:01 AM