Sangat menarik analogi yang dilontarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman atau Tok Non yang bertanyakan kepada lebih 71,000 pengundi di Permatang Pauh siapa pilihan mereka antara wakil rakyat atau wakil suami?

Pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh 7 Mei ini, pengundi kawasan terbabit akan menentukan nasib empat calon iaitu Suhaimi Sabudin mewakili Barisan Nasional (BN), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman (PRM).

Semua faham siapa yang dimaksudkan oleh Tok Non ‘wakil suami’ itu. Wakil rakyat sudah pastinya lebih sesuai untuk Suhaimi kerana beliau akan memberikan tumpuan sepenuhnya mewakili rakyat di kawasannya jika menang pada PRK kali ini.

Jika dilihat pada poster gergasi PKR sepanjang tempoh berkempen ini pun, grafik yang paling menonjol dan besar ialah foto Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bekas Ketua Pembangkang itu terus menjadi bahan kempen bagi meraih simpati rakyat.

Sebaliknya keupayaan sebenar Wan Azizah sebagai calon tidak ditonjolkan melainkan beliau adalah isteri Anwar. Dijaja ke sana sini ke seluruh pelosok Permatang Pauh bahawa kemenangan PKR adalah untuk melawan kezaliman BN, jika begitu kempennya apa fungsi Wan Azizah sebagai calon kerana bahan kempen bukan susuk tubuh calon, tetapi yang berada di penjara sedangkan pengundi mahukan wakil rakyat, bukan wakil suami.

Wan Azizah yang bertanding di Permatang Pauh adalah bekas wakil rakyat kawasan yang sama sebelum menyerahkan kepada suaminya pada 2008.

Presiden PKR itu kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang diambil melalui Langkah Kajang dengan formula sama pada PRK 2008 di Permatang Pauh.

Ikut peraturan pilihan raya sememangnya Wan Azizah berhak bertanding di mana-mana saja yang beliau suka, malah wakil rakyat yang memegang dua kerusi DUN dan Parlimen bukan suatu yang pelik.

Bekas Menteri Besar Selangor yang disingkirkan PKR iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah ADUN Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (ADUN Air Puteh dan Ahli Parlimen Bagan), Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (ADUN Rhu Rendang dan Ahli Parlimen Marang) dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali (ADUN Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak).

Maka agaknya atas dasar itu, Wan Azizah pun tidak mahu terkalah kerana semua rakan sejawatnya dalam pakatan pembangkang menduduki dua kerusi.

Untuk mensahihkan tindakannya bertanding di Permatang Pauh, maka dijajanya bahawa Kajang akan diserahkan kepada Mohamed Azmin selaku Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden PKR menjaga Kajang.

Bertambah keliru pengundi dibuatnya lebih-lebih lagi rakyat di Kajang yang nampak gayanya akan ‘kehilangan’ wakil rakyat kerana akan memberi tumpuan di Permatang Pauh. Jika begitu keadaannya sepatutnya Langkah Kajang tidak direalisasikan, tak perlu bertanding di sana sebab sudah menang ditinggalkan kepada orang lain yang mempunyai tugas menjaga negeri berbanding ‘jaga’ satu DUN.

Alasannya seperti tidak masuk akal, bagaimana mungkin untuk memberi tumpuan serentak kepada dua kerusi, sekali gus yang sangat jauh kedudukannya?

Kawalan jauh jenama mana dan model apakah agaknya yang akan digunakan ke atas Mohamed Azmin yang sepatutnya menjaga negeri, tetapi ditugaskan ‘tengok-tengokkan’ Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:10 AM