Nasharuddin Muhammad

Biarpun belum menjadi kenyataan, namun cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang secara tergempar dalam tempoh terdekat ini, hanya dilihat tidak lebih daripada tindakan mempergunakan rakyat untuk mencapai agenda tertentu pemimpin parti itu.

Dari segi undang-undang, DAP dan rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menguasai majoriti 29 kerusi DUN negeri itu daripada 40 kerusi keseluruhan memang mempunyai hak dan prerogatif untuk berbuat demikian, namun yang menjadi persoalan ialah tujuan dan punca pilihan raya itu mahu diadakan.

Yang pasti, ketika ini, umum mengetahui Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kini berdepan kes perbicaraan di mahkamah membabitkan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bersama seorang ahli perniagaan wanita.

Kerana itu, apabila DAP khususnya Guan Eng secara tiba-tiba mahu mengambil tindakan untuk membubarkan DUN Pulau Pinang menyebabkan rakyat khususnya di negeri itu tertanya-tanya tujuan dan puncanya memandangkan penggal DUN sekarang ini hanya berakhir pada Mei 2018.

Mengikut kelaziman, sesuatu parti yang menguasai kerusi DUN hanya akan membubarkan DUN jika kehilangan sokongan majoriti dalam DUN itu sendiri sehingga pilihan raya perlu diadakan bagi mendapatkan mandat baru.

Bagaimanapun, situasi itu tidak berlaku di Pulau Pinang apabila DAP dan PKR masing-masing masih menguasai kerusi majoriti DUN, sekali gus tidak mendesak pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh terdekat semata-mata untuk memperoleh mandat baru.

Biarpun tidak mempertikaikan hak dan prerogatif Guan Eng sebagai ketua kerajaan negeri untuk membubarkan DUN, cuma yang dipersoalkan ialah kewajaran beliau mahu berbuat demikian.

Berikutan itu, timbul cakap-cakap politik mengatakan tujuan Guan Eng berbuat demikian hanya mahu menutup masalah peribadi dihadapinya, sekali gus mengheret rakyat negeri itu untuk turut sama terbabit menjadikan pilihan raya negeri nanti jika jadi diadakan sebagai referendum atau pungutan suara terhadap kepemimpinan beliau dan partinya.

Sedangkan isu sebenar yang berlaku begitu berbeza kerana kes mahkamah yang dihadapi beliau adalah masalah peribadi sendiri, bukannya membabitkan pentadbiran kerajaan negeri mahupun parti diwakilinya, DAP.

Kerana itu, sehingga sekarang, cadangan Guan Eng untuk mengadakan pilihan raya negeri masih belum dipersetujui secara rasmi oleh PKR. Biarpun tidak menolak mentah-mentah cadangan itu, namun PKR dilihat menjawab secara berlapik kononnya parti itu masih terbuka dengan cadangan itu yang masih memerlukan perbincangan lebih lanjut.

Bagi PKR, parti itu mungkin mengambil iktibar daripada kegagalan apa yang dipanggil ‘Langkah Kajang’ sebelum ini yang ternyata gagal dan tidak menepati sasaran ditetapkan.

Justeru, apabila giliran DAP pula kini mengajak PKR untuk melaksanakan tindakan politik lebih berani dengan membubarkan DUN Pulau Pinang dan mengadakan pilihan raya negeri secara tergempar, PKR terpaksa berfikir banyak kali sebelum memberikan persetujuan.

PKR mungkin tidak mahu pisang berbuah dua kali menyebabkan parti itu terpaksa mengambil sikap lebih berhati-hati memandangkan cadangan DAP itu bukan seperti Langkah Kajang yang hanya membabitkan satu kerusi DUN, sebaliknya membabitkan keseluruhan DUN Pulau Pinang.

Selain itu, keputusan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan juga menyebabkan PKR khuatir yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Apapun, kita tunggu hasil keputusan perbincangan membabitkan kepemimpinan kedua-dua parti itu hari ini sama ada

cadangan untuk membubarkan DUN Pulau Pinang itu benar-benar menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Penulis Pengarang Politik Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 7:08 AM