LAW (kiri) bersalaman dengan Chow selepas dilantik YDP DUN Pulau Pinang bagi Mesyuarat DUN Ke-14 di DUN Pulau Pinang, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
LAW (kiri) bersalaman dengan Chow selepas dilantik YDP DUN Pulau Pinang bagi Mesyuarat DUN Ke-14 di DUN Pulau Pinang, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
Muhammad Yusri Muzamir


BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Datuk Law Choo Kiang, dilantik sebagai Yang di-Pertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi Mesyuarat DUN Ke-14, hari ini.

Law, 48, adalah calon tunggal dilantik bagi jawatan itu pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-14 bagi pemilihan YDP di DUN Pulau Pinang, selepas tarikh pencalonan ditutup pada 19 Julai lalu.

Pelantikan Law yang juga Naib Pengerusi PKR itu dibuat mengikut Peraturan I, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pulau Pinang.

ADUN Sungai Bakap daripada PKR, Dr Amar Pritpal Abdullah pula dilantik Timbalan YDP DUN Pulau Pinang selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu.

Pencalonan Law dan Dr Amar Pritpal itu dicadangkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan disokong Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada Majlis Angkat Sumpah ADUN Pulau Pinang.

Pada sidang sama, semua 40 wakil rakyat mengangkat sumpah jawatan didahului Chow yang juga ADUN Padang Kota, diikuti ADUN lain.

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-14 Pulau Pinang menyaksikan 37 ADUN Pakatan Harapan, dua daripada Barisan Nasional (BN) dan satu (PAS), dengan 26 daripada jumlah keseluruhan adalah muka baharu.

Ia membabitkan 19 wakil rakyat daripada DAP, selain 14 ADUN PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (2), Parti Amanah Negara (2), BN (2) dan PAS (1).

Pada sidang sama, Law turut mengumumkan ADUN Sungai Dua daripada BN, Muhammad Yusoff Mohd Noor, dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang.

Hadir sama Menteri Kewangan merangkap ADUN Air Putih, Lim Guan Eng serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga ADUN Pantai Jerejak, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 12:00 PM