Milan: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini semalam untuk memulakan lawatan kerja rasmi tiga hari, antara lain bertujuan menarik perdagangan dan pelaburan dari Itali.

Muhyiddin, yang diiringi isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, tiba dengan menaiki pesawat komersial di Milan Malpensa Airport, di sini pada jam 9.25 pagi (3.25 petang waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Rome Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

Muhyiddin kemudian mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Malaysia dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tourism Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Rome.

Perbincangan dijangka turut menyentuh mengenai tumpuan untuk terus menarik perdagangan dan pelaburan Itali ke Malaysia selain memperluaskan perdagangan serta pelaburan Malaysia di negara ini.

Muhyiddin dijangka merasmikan Pavilion Malaysia di Ekspo Milano 2015, di sini, hari ini disusuli dengan pertemuan bersama 30 peneraju industri terulung Itali.

Malaysia sebuah daripada 148 negara yang mengambil bahagian dalam ekspo dunia itu yang berlangsung enam bulan sejak 1 Mei lalu, antara lain bertujuan mempromosikan jaminan makanan dan teknologi.

Malaysia akan mempromosikan perdagangan dan pelaburan di ekspo itu yang antara matlamatnya adalah mempromosi jaminan makanan dan teknologi dan dijangka menarik kira-kira 20 juta pengunjung termasuk pengunjung perdagangan.

Selain itu, Pavilion Malaysia seluas 2,047 meter persegi bertemakan ‘Ke arah Ekosistem Makanan Lestari’ akan menonjolkan perubahan negara ini daripada sekadar sebuah negara berasaskan pertanian dan kini menuju ke arah menjadi negara maju menjelang 2020 dengan menggalakkan pembangunan lestari dalam usaha ke arah itu.

Malaysia akan turut mengambil peluang pada ekspo berkenaan untuk memperjelaskan tentang kelestarian produk sawitnya kepada dunia.

Muhyiddin akan turut melawat pavilion negara tuan rumah Itali selain beberapa negara Eropah dan ASEAN pada Sabtu sebelum pulang ke tanah air.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:20 AM