ATR 72MP daripada Leonardo SPA
ATR 72MP daripada Leonardo SPA
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Agensi Perdagangan Itali (ITA) kembali ke pameran dwi tahunan Persidangan & Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dengan membawakan teknologi terbaik Itali.

Sebanyak 18 syarikat Itali akan mempamerkan teknologi sistem pertahanan terbaiknya sehingga Khamis ini di DSA yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

ITA menerusi kenyataan berkata, antara syarikat yang mempamerkan di bawah sepanduk ITA ialah AREA, pakar dalam penyelesaian teknologi untuk keselamatan dan penyiasatan; Civitanavi Systems yang mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan penyelesaian untuk navigasi inersia, rujukan geo dan sistem penstabilan; serta Eurocontrol SpA, pengeluar elektromekanikal dan aplikasi mekatronik.

"Pavilion Itali menampilkan keselamatan siber tercanggih dan yang terkini antaranya pesawat udara tanpa pemandu.

"DSA adalah masa yang sesuai untuk melihat sistem pertahanan Itali secara dekat dan mengapa Itali sentiasa berada di barisan hadapan pertahanan global," katanya.

Syarikat Itali terkemuka lain yang mengambil bahagian dalam DSA termasuk Leonardo SPA, Electronica SPA, GEM Electronica, Feedback Italia dan ICS Technologies Srl.

Itali mempunyai kelebihan dalam sistem pertahanan kerana kemajuan teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Oleh itu, bersama-sama dengan Persekutuan Industri Itali untuk Pertahanan dan Keselamatan Aeroangkasa, ITA hadir di DSA dan tersedia untuk pelawat profesional serta delegasi kerajaan yang memerlukan sebarang bantuan mengenai produk dan teknologi baharu.

DSA 2022 yang menjadi acara pameran pertahanan dan keselamatan peringkat pertama, edisi ke-17 dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Persidangan dan pameran itu bertemakan 'Memajukan Era baru Pertahanan dan Keselamatan', dengan penganjur menjangkakan lebih 5,000 pelawat perdagangan dari lebih 50 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 1:54 PM