GAMBAR hiasan. Ekspo 2020 Dubai. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Ekspo 2020 Dubai. FOTO AFP
BERNAMA

Putrajaya: Malaysia mencapai semua sasaran yang ditetapkan bagi penyertaan dalam Ekspo 2020 Dubai dari Oktober 2021 hingga 31 Mac lalu dengan cemerlang, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI adalah kementerian peneraju bagi penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai, manakala Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) adalah agensi pelaksana.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan yang dikeluarkan MOSTI, hari ini berkata, antara sasaran yang ditetapkan kerajaan adalah untuk mencapai antara RM8 bilion dan RM10 bilion potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan penyertaan ke ekspo itu.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai selama enam bulan itu telah berjaya menjana RM70 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Mac lalu pada majlis penutup Pavilion Malaysia.

"Pencapaian ini membuktikan ekosistem pengkomersialan hasil R&D (penyelidikan dan pembangunan) negara kekal relevan, dan pembangunan industri R&D tempatan yang mampan serta berdaya saing," kata Dr Adham.

Beliau berkata, selain pencapaian dari segi ekonomi, Malaysia juga berjaya mengadakan program bertaraf antarabangsa sepanjang penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

"Pavilion Malaysia telah menerima kunjungan lebih daripada satu juta orang, selain turut menerima kunjungan 151 delegasi tertinggi dari negara atau organisasi antarabangsa yang menyertai Ekspo 2020 Dubai," katanya.

Dr Adham berkata, Pavilion Malaysia juga disenaraikan sebagai satu daripada lima pavilion paling hijau dan merupakan antara tujuh pavilion paling digemari di Ekspo 2020 Dubai oleh media antarabangsa.

Selain berjaya merangkul Anugerah Emas bagi Tafsiran Tema, Malaysia turut memenangi Honourable Mention bersama-sama Austria dan Belanda bagi kategori Reka Bentuk Mampan Terbaik anjuran Majalah EXHIBITOR World Expo Awards, katanya.

Dr Adham berkata kejayaan Malaysia turut disumbangkan bersama oleh 21 kementerian, 70 agensi kerajaan, lima kerajaan negeri serta 490 syarikat swasta daripada 10 bidang strategik negara yang telah menyertai program mingguan di Pavilion Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 1:41 PM