ISMAIL Sabri diiringi Menteir Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo Dubai 2020. FOTO Hazreen Mohamad.
ISMAIL Sabri diiringi Menteir Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo Dubai 2020. FOTO Hazreen Mohamad.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai berjaya menjana RM77.25 bilion dalam potensi perdagangan, perniagaan dan pelaburan melalui dokumen kerjasama yang ditandatangani, serta pertanyaan perniagaan yang diterima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia berjaya melepasi sasaran itu sebanyak tujuh kali ganda dengan potensi perdagangan dan pelaburan.

"Kejayaan ini diraih melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman, Perjanjian Perkongsian dan Surat Niat membabitkan syarikat serta pihak luar termasuk dari Amerika Syarikat, China, Emiriah Arab Bersatu, India, United Kingdom dan Qatar.

"Selain itu, sejumlah 4,971 pertanyaan perniagaan turut direkodkan dan bagi memaksimumkan peluang perdagangan dan perniagaan, Pavilion Malaysia yang mewakili penyertaan negara pada ekspo berkenaan juga berjaya mengadakan sebanyak 2,555 sesi padanan perniagaan secara fizikal dan maya.

"Secara keseluruhannya, Pavilion Malaysia menerima sejumlah 1.2 juta pengunjung, malah disenaraikan sebagai satu daripada lima pavilion paling hijau dan antara tujuh pavilion paling digemari oleh media antarabangsa," katanya dalam ucapan pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembangunan yang inklusif dan mampan adalah tulang belakang kepada pertumbuhan Malaysia, di mana tenaga boleh diperbaharui, ekonomi berpaksikan rakyat, teknologi hijau dan mitigasi perubahan iklim menjadi antara pemacu pemerkasaan ekonomi.

"Menerusi pameran dan pengisian Pavilion Malaysia, pengunjung didedahkan mengenai pentingnya manusia melindungi alam sekitar dan perlunya kehidupan dijalani dengan cara yang sihat.

"Pavilion Malaysia menunjukkan kepada dunia bagaimana penggunaan sains, teknologi dan inovasi diterapkan dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan hijau seperti menggabungkan ciri-ciri hijau seperti tadahan air hujan, teknologi solar dan bahan binaan terpakai dengan karbon rendah dan boleh dikitar semula," katanya.

Beliau berkata, impak penyertaan di Ekspo 2020 Dubai akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan pembentukan negara pada masa hadapan apabila kerjasama perdagangan yang diperoleh termasuklah rumah pintar hijau, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian, tenaga bersih dan banyak lagi penyelesaian masa depan.

"Dedikasi yang tinggi dan kerjasama erat melalui pendekatan Whole-of-Government telah menjadikan Pavilion Malaysia satu platform yang berkesan bagi perkongsian idea serta berjaya mengetengahkan potensi negara untuk menerajui agenda kelestarian global.

"Justeru, kerajaan akan terus komited dalam memastikan dasar kerajaan mengutamakan keperluan untuk memelihara kekayaan biodiversiti negara serta kepesatan pembangunan adalah mesra alam bagi manfaat generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 10:33 PM