ZAHID  pada sidang media di Kedutaan Malaysia di Itali bersama wartawan Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari  bermula semalam.
ZAHID pada sidang media di Kedutaan Malaysia di Itali bersama wartawan Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari bermula semalam.

Rom (Itali): Malaysia mahu menjadi hab mempromosikan produk Itali bagi pasaran ASEAN dan berhasrat meningkatkan perniagaan dua halanya dengan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata menjadi hasrat Malaysia untuk menjalin kerjasama lebih kukuh dengan negara itu menerusi perjanjian perniagaan.

Ini akan menjadi situasi menang-menang bagi Malaysia dalam mendapatkan lebih banyak peluang pindahan teknologi dari Itali manakala negara itu akan mendapat manfaat daripada pasaran perniagaan.

Zahid berkata, Malaysia menyasarkan peningkatan perdagangan dalam sektor keselamatan, komunikasi, pertanian, pembuatan dan pelancongan serta menarik lebih banyak pelaburan dari Itali.

“Malaysia mahu menjadi rakan dagangan Itali. Sekarang ini kita hanya menjadi pengguna akhir bagi produk Itali,” katanya kepada pemberita Malaysia ketika lawatan beliau ke pejabat Kedutaan Malaysia, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Duta Malaysia ke Itali Datuk Abdul Samad Othman.

Ketika ini, Malaysia memiliki perjanjian pindahan teknologi dalam sektor pertahanan dengan Itali.

Justeru, beliau mengarahkan agensi relevan terutama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk berhubung dengan agensi Itali bagi merealisasikan usaha dalam perdagangan.

Beliau berkata, Malaysia menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti perniagaan Itali ketika pameran perdagangan antarabangsa, Ekspo Milan 2015.

“Pavilion Malaysia selama enam bulan mempamerkan keupayaan kita dalam pelbagai sektor dan menarik 3.07 juta pengunjung,” katanya.

Zahid berkata, lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Itali Oktober lalu juga adalah pemacu bagi meneruskan hubungan perdagangan yang lebih kukuh dengan negara itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:48 AM