PENYOKONG England meraikan jaringan pembukaan penyerang, Raheem Sterling ketika menewaskan Jerman 2-0 di Wembley, semalam. FOTO AFP
PENYOKONG England meraikan jaringan pembukaan penyerang, Raheem Sterling ketika menewaskan Jerman 2-0 di Wembley, semalam. FOTO AFP
AFP

London: Penyokong England disarankan tidak ke Rome untuk menyokong pasukan di suku akhir Euro 2020 menentang Ukraine, Sabtu ini, berikutan larangan berkaitan Covid-19 mereka yang memiliki tiket tidak boleh menggunakannya.

Kemenangan 2-0 ke atas Jerman di Wembley, semalam membolehkan anak buah Gareth Southgate melangkah ke suku akhir Kejuaraan Eropah yang sepatutnya diadakan tahun lalu, tetapi ditangguh kerana Covid-19.

Tetapi, peraturan kesihatan Itali bermakna penyokong dari Britain perlu dikenakan kuarantin selama lima hari yang bermakna mereka akan terlepas perlawanan itu.

Ini bermakna, England turun ke padang tanpa penyokong sendiri yang baru-baru ini dibenarkan masuk semula ke Wembley selepas sekatan terhadap Covid-19 dilonggarkan.

Di Rome, penyokong England diberikan kuota 2,560 tiket iaitu kira-kira 16 peratus daripada kapasiti 16,000 penyokong di Stadio Olimpico.

Bagaimanapun, tiket tetap dijual kepada umum untuk perlawanan tunggal England di gelanggang luar selain Wembley, di Euro 2020.

Persatuan Bola Sepak England bekerjasama dengan Uefa dan Kedutaan Britain di Rome untuk menjual tiket kepada penyokong England yang menetap di Itali.

Kerajaan Britain menasihatkan penyokong supaya tidak ke Itali kerana mereka perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari apabila pulang nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 10:31 PM