TENTERA Itali memeriksa pelancong yang beratur untuk memasuki gereja Duomo di Milan, semalam.
TENTERA Itali memeriksa pelancong yang beratur untuk memasuki gereja Duomo di Milan, semalam.

Rome: Pasukan keselamatan Itali kini memburu lima suspek dalam pada Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kemungkinan serangan pengganas di negara itu.

Menteri Luar Paolo Gentiloni berkata, ada kemungkinan serangan pengganas akan menyasarkan Gereja St Peter di Rome atau gereja serta teater La Scala di Milan.

“Setakat semalam, pasukan keselamatan kita berusaha mengenal pasti lima orang,” katanya.

Sementara itu, kedutaan AS di Rome dalam satu pesanan kepada rakyatnya berkata, selain destinasi pelancongan terkenal, gereja, kuil Yahudi, restoran, teater serta hotel di dua bandar utama negara itu mungkin menjadi sasaran.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai serangan yang mungkin dilaksanakan dan amaran dikeluarkan itu bukan bertujuan melarang rakyat AS melawat Itali.

Itali meningkatkan tahap keselamatannya kepada dua - yang tertinggi memandangkan tiada serangan secara langsung di situ - susulan kejadian di Paris, minggu lalu, yang mana 129 maut dibunuh anggota Negara Islam (IS) yang bersenjata dan membawa letupan.

Gentiloni berkata, Itali bersedia membantu ‘saudaranya di Perancis, dalam perang terhadap IS, tetapi ini tidak bermakna ia akan menghantar tentera daratnya ke Syria.

Seperti kebanyakan negara Eropah lain, Itali tidak mahu menyertai Perancis dan AS dalam serangan udara di Syria. Ini kerana ia hanya akan melakukannya jika diminta secara langsung oleh kerajaan diiktirafnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:35 AM