ISKANDAR Harith bersama isteri.
ISKANDAR Harith bersama isteri.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Kubu Bharu: Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan isteri pelawak, Harith Iskander iaitu Dr Jezamine Lim ada memfailkan perceraian terhadap suaminya itu, baru-baru ini.

Akberdin ketika ditemui berkata, perbicaraan kes perceraian mereka ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Katanya, kedua-dua pihak memberikan kerjasama yang baik sepanjang perbincangan itu.

"Memang sekarang ini dah jelas kes itu memang wujud. Jadi, tarikh memang dah ada, tapi sudah ditunda kerana mahkamah ada urusan lain. Kami akan maklumkan tarikh baru selepas ini.

"Kedua-duanya memberi kerjasama yang baik. Lebih daripada itu, tunggu dulu di tarikh baru yang akan dimaklumkan," katanya.

Sementara itu, Harith ketika dihubungi hanya memberikan maklum balas ringkas dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas ini.

"Terima kasih dan saya minta maaf atas kelewatan membalas pertanyaan ini. Kami akan keluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berita mengenai Jezamine memfailkan perceraian terhadap Harith. Mereka sudah berumah tangga selama 14 tahun itu.

Harith dan Jezamine mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 1:44 PM