SAMPAIKAN 30 lagu termasuk medley.
SAMPAIKAN 30 lagu termasuk medley.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengadakan konsert solo terbesar di Singapura baru-baru ini.

Konsert di The Star Performing Arts Centre itu dihadiri 10,000 penonton sepanjang dua malam persembahan yang bukan saja daripada peminat di Singapura, tapi juga dari Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Lebih manis apabila Konsert Fenomena Dato' Sri Siti Nurhaliza itu adalah persembahan berskala besar kedua Siti di lokasi sama selepas kali pertama pada 2014.

Kali pertama Siti mengadakan konsert di negara itu pada tahun 2000 menerusi Siti Nurhaliza Live In Singapore.

Selepas 24 tahun, Siti, 45, kembali menghiburkan peminat di Kota Singa itu yang dianggap momen dan pengalaman yang cukup indah buat dirinya sepanjang 28 tahun bergelar anak seni.

"Terima kasih Singapura dan semua peminat yang hadir dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan dari mana saja. Saya sangat terharu dan sangat menghargai anda.

"Saya datang dengan penuh semangat dan pulang dengan senyuman azimat," katanya.

Menerusi konsert yang dibawakan secara eksklusif oleh SAH Entertainment, Siti menyanyikan 30 lagu termasuk medley sepanjang dua jam 30 minit persembahan.

Konsert itu dibahagikan kepada empat segmen yang membawa penonton menggamit nostalgia menerusi lagu-lagu popular Siti ketika di awal kemunculan termasuk dua lagu daripada filem terbitan Jalan Ampas iaitu Sirih Pinang dan Tari Tualang Tiga Tari Silat Melayu.

Tidak ketinggalan medley lagu yang didedikasikan buat komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw dan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hasan.

Ironinya juga apabila Siti membuka tirai persembahan dengan menyampaikan lagu Mawarku yang mana lagu itu memenangi kategori Lagu Paling Popular dan Artis Baru Popular pada Anugerah Muzik Singapura 1996.

Lagu lain yang dipersembahkan antaranya Anta Permana, medley Bicara Manis Menghiris Kalbu, Seribu Kemanisan dan Purnama Merindu, Bisikan Asmara, medley Menyapa Dunia, Biarlah Rahsia dan Pastikan.

Turut dinyanyikan medley Bukan Cinta Biasa, Aku Bidadari Syurgamu dan Kau Kekasihku; Siapa Tak Mahu dan Ganti; Gelora Asmara dan Azimat Cinta serta Destinasi Cinta.

Siti turut menampilkan penyanyi Khai Bahar untuk segmen duet menerusi lagu Wajah Kekasih dan Cinta Syurga.

Sementara lagu Muara Hati berduet dengan Sufi Rashid. Penutup menyaksikan Siti mengajak semua penonton untuk menari bersama dalam seleksi lagu Irama Malaysia iaitu Magis dan Di Taman Teman, Nirmala dan Ya Maulai.

Sementara itu, penganjur dan penerbit konsert, Sufi Rashid berkata, kejayaan konsert itu meninggalkan kenangan selamanya.

"Siapa sangka dari 2022 melamar Datuk Seri Siti untuk buat konsert di Singapura. Waktu itu, tak terfikir langsung yang kita ini penganjur acara yang kecil, tiada pengalaman, duit pun tak cukup tapi berangan nak buat konsert penyanyi nombor satu Malaysia.

"Tetapi saya percaya untuk mencapai sesuatu, kita harus berangan-angan dahulu. Akhirnya, Allah SWT kabulkan impian yang sampai sekarang saya masih tak percaya. Bukan itu sahaja, DIA kabulkan impian untuk buat yang lebih besar, malah mencipta sejarah bagi SAH Entertainment dan Siti Nurhaliza.

"10,000 peminat yang membeli tiket untuk konsert dua malam ini. Hebatnya seorang Siti Nurh

aliza. Terima kasih sekali lagi buat semua yang menjayakan konsert ini. Kita sudah mencungkil sejarah bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 6:55 AM