PERSEMBAHAN Siti mencuri tumpuan ramai.
PERSEMBAHAN Siti mencuri tumpuan ramai.
Ramlah Zainal

KEMUNCULAN artis terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah paling mencuri tumpuan penonton sempena Loop Music Festival 2024 yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil di sini, baru-baru ini.

Malah, acara yang menampilkan barisan 15 penyanyi popular baharu dan lama dari pelbagai genre itu berjaya menarik seramai 7,000 penonton.

Selain Siti dan Dayang, barisan artis yang turut membuat persembahan ialah Noraniza Idris, Amelina, Aishah Retno, Sufian Suhaimi, kumpulan XPDC, Insomniacks, Masdo, Nadeera Zaini, Ronnie Hussien, Usop, Arish Mikael dan Lucidrari.

Menurut Siti, acara itu bukan sahaja menampilkan persembahan penyanyi baharu dan lama sekali gus mengimbau nostalgia buat dirinya ketika buat konsert pertama di Stadium Bukit Jalil pada usia 19 tahun.

"Kalau anda semua tengok semula di You Tube dan TikTok yang tayang semula konsert ketika zaman muda saya itu.

"Saya berumur 19 tahun ketika buat konsert pertama di sini. Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T, sekarang saya sudah berumur 45 tahun.

"Kini, saya menghiburkan anak-anak kepada peminat pula," katanya.

Siti turut menitipkan pesanan buat penonton pada malam itu.

"Festival ini memiliki banyak kebaikannya. Saya juga mahu berpesan kepada adik-adik semua.

"Dalam hidup ini, kita mesti menjadi orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Sebab hidup ini penuh dengan tekanan.

"Sentiasa positif dan beri manfaat kepada orang lain dan hargailah orang di sekeliling kita. Saya sayang anda semua," kata Siti yang diiringi pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito pada festival itu malah sudah bekerjasama dengannya sejak sekian lama.

Siti menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu popularnya termasuk secara medley seperti Ya Maulai dan medley 7 Nasihat/ganti; medley Seribu Kemanisan/Azimat Cinta/ Bidadari Syurgamu, Destinasi Cinta dan Sehebat Matahari.

"Jom kita dengar lagu yang banyak beri motivasi. Jadilah seperti matahari, walaupun hanya satu tetapi ia tetap menyinari di seluruh alam," katanya.

Acara kemuncak pada malam itu diteruskan dengan persembahan dari Dayang yang tidak kurang hebatnya dengan menyampaikan rangkaian lagu hitsnya seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu, Lelaki Teragung, Ketipang Payung, Umpan Jinak Di Air

SUFIAN sampaikan tiga lagu popular.
SUFIAN sampaikan tiga lagu popular.

Tenang dan Di Pintu Syurga

Acara dihangatkan lagi dengan persembahan irama dangdut dari Amelina menerusi lagu medley Semakin Rindu Semakin Asyik/Ah Rindu Lagi/Bulan Cinta, medley Yang Tersayang/Secangkir Madu Merah dan medley Rindu/Asyik.

Tidak ketinggalan, persembahan dari penyanyi irama Malaysia, Noraniza Idris pada sebelah petang dengan lagu seperti Ngajat Tampi, medley Awallah Dondang/Ting-Ting/Hatinya Tak Tahan, Cintaku Sampai Etopia dan medley Dindang Dendang Dikir Puteri.

Penyanyi muda hangatkan festival

Acara pada sebelah petang pula dihangatkan dengan persembahan dari barisan artis muda dan berbakat besar seperti Aisha Retno dengan rangkaian lagunya seperti Ketipak Ketipung Raya, Pencarianku X Sial, Sinaran dan Sutera.

Penyanyi Sufian Suhaimi menghiburkan peminat dengan lagu hitnya seperti Terakhir, Menggenggam Bahagia dan Di Matamu) dan penyanyi Nadeera (Emas, Sekadar Di Pinggiran dan Udara).

Kumpulan XPDC tampil dengan Mamu selaku penyanyi kerana menggantikan tempat vokalisnya, Ali yang berdepan masalah kesihatan.

Tampil dengan lagu seperti Hidup Bersama, Apa Nak Dikata, medley Hentian Ini/Titian Perjalanan, Selendang Merdeka dan Semangat Yang Hilang.

Band popular Imsomniack menyampai beberapa lagu seperti Teman Remnisensi, Igauan Malam, Sempurna dan Pulang.

Manakala kumpulan Masdo menutup tirai menerusi rangkaian lagu hitsnya, Janji Manis, Pujasnku, Dinda, Kasih dan Sayang, Berchanda dan Malam Pesta Rock N Roll.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 6:26 AM