ANTARA motosikal yang diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu Samseng Jalanan di BORR berdekatan kawasan R&R Bagan Ajam bermula jam 1.30 hingga 10 pagi tadi. FOTO ihsan polis
ANTARA motosikal yang diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu Samseng Jalanan di BORR berdekatan kawasan R&R Bagan Ajam bermula jam 1.30 hingga 10 pagi tadi. FOTO ihsan polis
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Sebanyak 101 motosikal disita dalam Operasi Khas Bersepadu Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, di sini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1.30 hingga 10 pagi itu diketuai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang serta JSPT Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Polis Bantuan PLUS Berhad.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi bertujuan mencegah aktiviti lumba haram selain memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.

"Sepanjang operasi, sebanyak 250 motosikal serta dua kereta diperiksa dan daripada jumlah itu, 81 motosikal disita oleh pihak polis di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengeluarkan sebanyak 114 saman atas pelbagai kesalahan.

"Pihak JPJ menyita 20 motosikal dan mengeluarkan 245 notis pemeriksaan kenderaan di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak JAS turut mengeluarkan dua notis serta dua kompaun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

"Sementara ujian saringan air kencing yang dijalankan pihak AADK terhadap 98 individu pula mendapati sembilan daripada mereka positif pelbagai jenis dadah," katanya.

Hamzah berkata, kerjasama pelbagai agensi dalam operasi seumpama itu adalah langkah proaktif mencegah kegiatan samseng jalanan secara berterusan.

"Polis komited menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang patuh kepada peraturan dan undang-undang.

"Oleh itu, orang ramai khususnya remaja diingatkan supaya tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram atau apa jua kegiatan samseng jalanan yang boleh mengancam diri sendiri dan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:42 PM