LAMINE Yamal membuat percubaan cantik. FOTO Agensi
LAMINE Yamal membuat percubaan cantik. FOTO Agensi
Agensi

London: Mounir Nasraoui yang juga bapa kepada bintang muda sensasi Sepanyol, Lamine Yamal meramal La Roja akan muncul juara Euro 2024 dengan menewaskan England.

Bapa Yamal turut meneka yang anak buah Luis de la Fuente itu akan menang selesa 3-0 ke atas skuad Three Lions itu.

Kedua-dua pasukan dijadual turun pada final Piala Eropah 2024 yang akan berlangsung di Olympiastadion Berlin, awal pagi Isnin.

"Mudah-mudahan, dia akan beraksi dengan baik. Tetapi saya mahu semua pemain beraksi dengan baik jika ia bermakna membawa pulang trofi. Kami perlu memikirkan tentang pasukan, bukan hanya pemain individu.

"Sepanyol akan mampu menjadikan kedudukan 3-0. Yang penting Sepanyol menang," kata Nasraoui yang ditemubual oleh ITV.

Bapa Yamal dianggap individu penting dalam mencorakkan perjalanan karier Yamal sejak kecil dan Nasraoui berharap anaknya dapat membantu Sepanyol muncul juara.

Malah, beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk Yamal menjaringkan gol seperti mana dilakukan ketika menentang Perancis di separuh akhir sebelum ini.

Untuk rekod, Sepanyol pernah memenangi Piala Eropah sebanyak tiga kali dengan kali terakhir dimenangi pada 2012 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:57 PM